Bangunan MOTAC terima ancaman bom, kakitangan diarah kosongkan bangunan
Astro Awani
Jun 5, 2024 15:58 MYT
Jun 5, 2024 15:58 MYT
PUTRAJAYA: Kakitangan dan pelawat di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) di sini dilapor telah diarah mengosongkan bangunan tersebut sekitar jam 3.40 petang.
Ringkasan AI
- Kakitangan dan pelawat di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) diarah untuk mengosongkan bangunan sekitar jam 3.40 petang susulan ancaman bom di tingkat 14 bangunan tersebut.
- Bungkusan yang dipercayai mengandungi bom itu telah dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran.
- Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Unit Pemusnah Bom dilapor telah berada di lokasi kejadian.
Tindakan tersebut didakwa susulan wujud ancaman bom di tingkat 14 bangunan tersebut.
Insiden berkenaan turut dikongsi oleh Penolong Kanan Naib Presiden, Kandungan Berjenama, Astro AWANI, Zaiful Mohd Ariffin yang berada di lokasi kejadian bagi menghadiri satu mesyuarat.
Menurut Zaiful, difahamkan bungkusan tersebut telah dihantar menggunakan perkhidmatan penghantaran.
"Kakitangan kementerian telah melihat bungkusan berkenaan dan ia dilihat seperti bom. Ketika ini kita masih belum tahu mengenai bungkusan tersebut.
"Tetapi sebagai langkah keselamatan, kakitangan telah diarahkan untuk mengosongkan bangunan," katanya.
Difahamkan, pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Unit Pemusnah Bom telah berada di lokasi kejadian.
Astro AWANI sedang mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut.
BERITA LANJUT MENYUSUL