Bangunan kekal KSCIP bakal dibina di Putrajaya
Astro Awani
Julai 9, 2017 13:40 MYT
Julai 9, 2017 13:40 MYT
Malaysia menawarkan tanah seluas kira-kira 16 hektar di Putrajaya bagi membina bangunan kekal Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, perkara itu diputuskan dalam perbincangan dengan pembantu kepada Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan pembantu Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman yang mengunjungi kediamannya malam tadi.
"Pembinaan KSCIP di Putrajaya ini melambangkan betapa pentingnya institusi berkenaan dan Putera Mahkota Arab Saudi sendiri akan datang ke Malaysia bagi melancarkan pusat itu bersama-sama saya.
"Ini antara kejayaan kita kerana Raja Salman boleh memilih negara lain untuk membina pusat berkenaan tetapi baginda yang merupakan penjaga kepada dua kota suci orang Islam tetap memilih negara ini," katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini hari ini.
KSCIP yang beribu pejabat di Kuala Lumpur memulakan operasi Mei lalu bagi tujuan pengumpulan ilmuan, pakar risikan, selain tenaga kerja Kementerian Pertahanan di rantau ini, dalam usaha menangani isu ekstremisme dan keganasan melampau.
Pusat itu yang diilhamkan oleh Raja Salman semasa lawatan baginda ke negara ini, beroperasi secara sementara di ibu negara sebelum mempunyai kompleksnya yang tersendiri.
Dalam ucapannya, Najib meminta rakyat agar tidak gusar dan musykil dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan kerana ia dilakukan untuk kebaikan mereka dan negara ini.
"Apa yang kita lakukan bukan hanya mendapat sambutan tetapi juga memperoleh sanjungan dan pengiktirafan daripada negara lain termasuk kerajaan Arab Saudi sendiri.
"Sebab itulah tidak benar kalau pembangkang kata negara ini sebuah negara gagal dan perlu diselamatkan. Sebenarnya kita telah selamat dan berjaya serta dapat pengiktirafan daripada negara luar.
"Malah orang yang kata negara perlu diselamatkan... yang dulunya pemimpin kita pun tidak pernah mendapat sanjungan sebegini daripada negara berkenaan. Jadi tidak perlulah nak selamatkan Malaysia," katanya.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Perdana Menteri turut mengesahkan kuota haji tambahan yang diberikan kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia dikekalkan manakala rundingan tentang pembinaan dua kompleks Tabung Haji di Makkah dan Madinah masih dijalankan.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Pekan, berkata jika kompleks terbabit dibina, ia akan mengurangkan kos umat Islam negara ini untuk menunaikan rukun Islam kelima itu pada masa depan.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan telah membelanjakan RM3 bilion dalam melaksanakan lima pakej bantuan Aidilfitri sepanjang bulan Ramadan yang memanfaatkan 9.6 juta rakyat.
"Antara bantuan yang diberikan ialah bantuan beras kepada penjawat awam dan pesara, pemberian dividen kepada pekebun kecil, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) peringkat kedua kepada tujuh juta penerima dan juga pembayaran insentif raya.
"Inilah usaha kita yang bukan hanya mementingkan pembangunan fizikal tetapi kesejahteraan dan kebajikan rakyat pun kita jaga. Kalau dahulu orang kata bantuan kerajaan hanya di luar rumah, sekarang ini sampai ke dapur pun kita berikan bantuan," katanya.
Najib juga menempelak pembangkang yang memainkan sentimen Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal, kerana kata beliau kerajaan telah berusaha sebaik mungkin untuk memastikan pembangunan Malaysia berada pada landasan yang tepat.
Sebagai bukti, Perdana Menteri merujuk pada kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.6 peratus bagi suku pertama tahun ini dan eksport Malaysia yang melonjak kepada RM80 bilion yang merupakan sejarah baharu negara selain harga minyak negara yang merupakan ke-10 paling murah di dunia.
“Jadi kita mestilah melahirkan kesyukuran dan jika kita terus memberikan sokongan serta dorongan kepada kerajaan yang ada hari ini, saya yakin kita boleh menempa masa depan yang lebih cemerlang untuk negara kita," katanya.
#bangunan kekal
#ekonomi
#KSCIP
#Najib Razak
#pakej bantuan Aidilfitri
#pembangkang
#Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman
#Putrajaya
#Raja Salman Abdulaziz al-Saud