Bangunan Hospital Tanah Merah terbakar
Muhafandi Muhamad
Januari 17, 2021 23:13 MYT
Januari 17, 2021 23:13 MYT
TANAH MERAH: Sebahagian bangunan Hospital Tanah Merah yang masih dalam pembinaan terbakar malam ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.50 malam itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, segera menghantar pasukan sebaik menerima panggilan kecemasan.
Berdasarkan maklumat awal, kebakaran berlaku di tingkat tiga bangunan setinggi tujuh tingkat itu.
Menurut Komander Operasi, Balai Bomba Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rafain Mat Zain, pihaknya belum mengenal pasti punca kebakaran tetapi tidak menolak kemungkinan mempunyai kaitan dengan pemasangan kabel elektrik.
Kebakaran | bangunan Hospital Tanah Merah dalam pembinaan terbakar
"Kawasan terjejas setakat ini adalah 2,000 meter persegi. Bagaimanapun laporan terperinci, punca dan keluasan sebenarnya belum dapat ditentukan kerana operasi di lokasi kejadian masih berjalan," katanya di sini, malam ini.
Beliau berkata, operasi pemadaman membabitkan beberapa jentera dengan dibantu 15 pegawai dan anggota.
Kebakaran dapat dikawal sekitar jam 9.50 malam namun usaha memadam api masih dijalankan sehingga jam 11 malam tadi.
#Hospital Tanah Merah
#terbakar
#kebakaran
#bomba
#tingkat tiga
#bangunan tujuh tingkat
#masih dalam pembinaan