Bangunan hospital dikosongkan akibat diselubungi asap

Vivi Sumanti
Oktober 17, 2019 11:41 MYT
Kakitangan dan pesakit di Hospital Tanah Merah, Kelantan berdepan detik cemas apabila bangunan pusat perubatan itu diselubungi asap jam 11 malam tadi. -Foto Astro AWANI/Vivi Sumanti
Beberapa kakitangan dan pesakit di Hospital Tanah Merah, Kelantan berdepan detik cemas apabila bangunan pusat perubatan itu diselubungi asap jam 11 malam tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Roslan Ismail dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah berkata tujuh pegawai dan anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan.
"Kami mengambil masa kira-kira tiga minit untuk tiba di tempat kejadian dan pesakit sedang mengosongkan bangunan dengan dibantu kakitangan hospital.
Menurutnya, kejadian didapati berpunca daripada sistem bekalan kuasa bebas gangguan (UPS) yang terbakar.
"Hasil pemeriksaan dilakukan kami dapati kebakaran berpunca daripada UPS di tingkat bawah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, api walau bagaimanapun sudah terpadam dan pihaknya bertindak membuka tingkap dan pintu bagi melancarkan pengudaraan.
Katanya lagi, operasi tamat sepenuhnya pada 12.20 tengah malam, punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
#bangunan dipenuhi asap #BBP Tanah Merah #Hospital Tanah Merah #Roslan Ismail
;