Bangunan bilik guru SMK Medamit terbakar
Rohana Wahed
November 9, 2018 09:03 MYT
November 9, 2018 09:03 MYT
Terlalu banyak bahan mudah terbakar, sambil sumber air dari kolam ikan berhampiran kering menyebabkan usaha memadam kebakaran bangunan bilik guru di Limbang, Sarawak mengambil masa hampir lima jam dalam kejadian awal pagi Jumaat.
Kebakaran bermula tengah malam tadi dengan pasukan bomba dan pengelamat menerima panggilan kecemasan pada jam 12.28 tengah malam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang, Tawang Linggem berkata, kebakaran melibatkan bangunan bilik guru dua tingkat jenis struktur kekal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Medamit.
Ia terbakar di bahagian atas dengan 50 peratus musnah sama sekali.
"Sembilan anggota bomba dikerahkan membuat kerja-kerja pemadaman menggunakan sumber air jentera dan sumber air terbuka hingga api padam sepenuhnya.
"Oleh kerana kekeringan sumber, sebuah tangki air terpaksa digunakan untuk mengepam air dari lokasi lain," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Menurutnya, pihaknya mengaplikasikan teknik Receo dalam operasi ini bagi mengelakkan api merebak ke bahagian bangunan lain sekolah terbabit.
Tawang berkata, siasatan awal pihaknya percaya kebakaran bermula daripada percikan api pada sistem pendawaian, selepas bekalan elektrik terputus, akibat kejadian pokok tumbang di sekitar kawasan tersebut, tiga jam sebelum itu.
Siasatan awal pihaknya mendapati tiada mangsa mengalami kecederaan manakala punca kejadian, masih dalam siasatan pasukan forensik kebakaran.
#API
#bilik guru
#kebakaran
#Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Limbang
#Limbang
#SMK Medamit
#sumber air
#Tawang Linggem