Bangunan awam, sekolah yang lama perlu diselenggara - Annuar

Bernama
Ogos 11, 2022 20:50 MYT
Annuar beramah mesra dengan empat pelajar yang menjadi mangsa kejadian tangki air pecah di SMK Melor pada 9 Ogos lepas semasa menziarah mereka di Kampung Tasek Sri Kulim Melor semalam. --fotoBERNAMA
KOTA BHARU: Struktur bangunan awam termasuk sekolah yang lama perlu diselenggara bagi menjamin keselamatan terutama kepada pelajar, kata Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata kerja penyelenggaraan adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Kerja Raya (JKR) yang boleh dijalankan menerusi pemeriksaan dan pengesahan.
"Bangunan lama yang berada di sekolah berusia berpuluh-puluh tahun perlu dilakukan audit keselamatan, kita perlu selenggara jangan tunggu berlaku peristiwa-peristiwa besar.
"Pihak pentadbiran sekolah kalau mendapati ada bangunan atau struktur lama yang disyaki tidak selamat mereka wajib melaporkan kepada pihak JKR kerana mereka akan lakukan pemeriksaan dan tentukan sama ada ia selamat digunakan atau tidak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan di Kampung Tasek Sri Kulim, di sini semalam kepada empat pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor yang tercedera selepas tangki air sekolah mereka pecah baru-baru ini.
Dalam kejadian pukul 10 pagi, Selasa, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, memaklumkan sekumpulan pelajar dari SMK Melor cedera selepas tangki air pecah dan menimpa laluan siar kaki sekolah berkenaan.
Sementara itu, pelajar tingkatan dua yang tercedera Ilham Nor Mariam berkata dia masih trauma untuk kembali ke sekolah selepas kejadian tangki air pecah itu.
"Sehingga kini saya masih diberi cuti rehat beberapa hari selepas menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) kerana mengalami luka di kepala selain kaki terseliuh akibat terkena serpihan bumbung yang pecah," katanya.
--BERNAMA
#Annuar Musa #sekolah lama #struktur bangunan awam #kerja penyelenggaraan