Bangunan 90 tahun di Kuala Kangsar reput, terbiar: MPKK, Jabatan Warisan diminta pantau
Aida Aziz
Jun 24, 2022 12:00 MYT
Jun 24, 2022 12:00 MYT
IPOH: Kerajaan negeri meminta Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) dan Jabatan Warisan Negara memantau serta melihat semula keadaan Masjid Lama Kampung Kuala Dal, Padang Rengas.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata pihaknya memandang serius berhubung isu bangunan warisan berusia 90 tahun itu, yang dikatakan semakin mereput dan terbiar tanpa penjagaan.
"Ini sebenarnya isu yang kita hadapi dengan Jabatan Warisan, di mana sesetengah aset itu diletakkan di bawah jagaan jabatan itu dan bukan kerajaan negeri.
"Bagaimanapun, ia tidak menghentikan kerjasama di antara kedua-dua pihak. InsyaAllah saya sudah minta MPKK untuk melihat sama ada boleh bantu Jabatan Warisan untuk betulkan keadaan di situ.
"Setakat ini memang Jabatan Warisan diminta untuk pantau semula, lihat kerja yang perlu dilakukan.
"Kerana, kerja baik pulih hanya boleh dilakukan oleh pakar yang arif tentang seni bina warisan bangunan masjid itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program perbincangan town hall 'Ke Arah Pelancongan Selamat Negeri Perak' serta pelancaran Unit Polis Pelancong Perak, di sini, semalam.
Sebelum ini, media melaporkan situasi dan pemandangan terkini masjid yang sarat dengan seni bina tradisional dan unik itu, yang kelihatan tidak terurus.
Malah, ada beberapa bahagian binaan yang mulai mereput khususnya di dinding dan kayu.
Setiausaha Persatuan Warisan Perak Nor Hisham Zulkiflee berkata, beberapa struktur bangunan berkenaan mulai kusam dan terbiar mereput, seolah-olah tiada pemantauan dibuat.
Difahamkan, masjid ini sudah dijadikan sebagai galeri dan diuruskan oleh Jabatan Warisan.
Terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, kira-kira 4.8 kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar, keunikan masjid ini dapat dilihat menerusi reka bentuk binaannya yang menyerupai sangkar burung.
Selain itu, dinding masjid dua tingkat ini dibuat daripada buluh minyak yang dianyam, iaitu 'dinding tepas/tepus'.
Masjid ini dibina pada 1936 dan dibiayai oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak ke-30.
Menurut catatan di papan plak, perasmian masjid ini berlangsung pada 11 Februari 1938.
Masjid ini tidak lagi digunakan pada 1976, setelah masjid baharu iaitu Masjid Al-Wahidiah dibina.
Jabatan Warisan pernah menjalankan kerja-kerja konservasi di masjid ini iaitu pada 2008 dan 2015.