Bangun seawal 5 pagi untuk lihat Sultan Johor dari dekat

Siti Nur Aqilla Omar
Januari 31, 2024 10:20 MYT
Orang ramai melambai ke arah kenderaan yang dinaiki Sultan Ibrahim.
JOHOR BAHRU: Rasa kasih dan sayang serta hormat Nor Sharina Ahmad, 32, terhadap Sultan Ibrahim diterjemahkannya melalui kesanggupan bangun seawal jam 5 pagi untuk memastikan tidak terlepas melihat dari dekat keberangkatan baginda ke Kuala Lumpur.
Bersama keluarganya, Nor Sharina yang menetap di Kampung Melayu Majidee menyertai ribuan rakyat Johor lain menanti di pekarangan Dataran Mahkota, Istana Bukit Serene, di sini, awal pagi tadi.
Sekalipun berasal dari Sabah, namun, Nor Sharina sangat teruja untuk menjadi saksi pada majlis penting bagi keluarga diraja Johor itu.
Dalam masa sama, Nor Sharina menyatakan keyakinannya ketegasan Sultan Ibrahim mampu menjadikan negara lebih maju.
"Saya bangun jam 5 pagi, selepas solat terus ajak ibu, bapa dan adik untuk ke sini, rasa sangat teruja untuk melihat baginda.
"Saya dapat lihat baginda melambai di dalam kereta. Saya orang Sabah tetapi yakin kepimpinan dan ketegasan Sultan Ibrahim boleh memajukan negara, dan negara sentiasa dilindungi," ujarnya kepada Astro AWANI ketika ditemui.
Nor Sharina antara 30,000 rakyat yang berada di sepanjang laluan bagi memberi lambaian istimewa kepada Sultan Ibrahim yang berangkat tiba menaiki kereta klasik dan vintaj berwarna biru gelap keluar dari Istana Bukit Serene seawal jam 7.45 pagi.
Laungan Daulat Tuanku dan Allah Panjangkan Usia Tuanku turut dilaungkan ribuan rakyat Johor ketika baginda menyelurusuri Jalan Skudai, di sini, pagi ini.
Rakyat yang memenuhi laluan berkenaan bukan sahaja membawa hendera Malaysia dan negeri Johor malah memegang sepanduk 'Menjunjung Kasih Tuanku'.
Sementara itu, bagi Penolong Akauntan, Norida Zainal Abidin, 46, pula tidurnya tidak lena memandangkan dia sangat teruja untuk melihat sendiri keberangkatan tiba Sultan Ibrahim.
"Ya Allah teruja sangat apabila Sultan Johor jadi Yang di-Pertuan Agong, saya bangun jam 5 pagi kerana perlu menaiki bas jam 7 pagi untuk ke Istana (Bukit Serene).
"Harapan saya semoga Yang di-Pertuan Agong dapat menjaga negara dengan lebih cemerlang," katanya.
Sultan Ibrahim akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 hari ini bagi tempoh lima tahun.
Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan itu akan diadakan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-264 (Khas) di Balairung Seri, Istana Negara.
Pada istiadat itu akan turut menyaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh yang sama.
#Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #Agong Kita #Istiadat Keberangkatan Tiba
;