Bangsa kekal sebagai pembolehubah penting dalam penyelidikan sains sosial - Saifuddin

Bernama
Mac 19, 2015 06:28 MYT
SAIFUDDIN: Bangsa sebagai satu identiti tidak dapat dielakkan tetapi penyelidik perlu melihat di luar paradigma kaum apabila menjalankan penyelidikan sains sosial di Malaysia. - File pic
Bangsa akan terus menjadi pembolehubah penting dalam penyelidikan sains sosial tetapi pembolehubah lain seperti jantina, umur, latar belakang keluarga dan agama juga harus dipertimbangkan, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM), Datuk Saifuddin Abdullah.
"Bangsa sebagai satu identiti tidak dapat dielakkan tetapi penyelidik perlu melihat di luar paradigma kaum apabila menjalankan penyelidikan sains sosial di Malaysia," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan perbincangan meja bulat bertajuk 'Horizon Baharu dalam Penyelidikan Mengenai Masa Depan Malaysia', di ibu negara, Rabu.
Saifuddin menggesa kerajaan mengukuhkan pembiayaan bagi penyelidikan sains sosial dan melakukan usaha yang lebih untuk memupuk penyelidik muda.
"Apa yang kita perlukan ialah lebih banyak penyelidikan yang akan memberi impak secara langsung kepada proses membuat keputusan. Kami amat memerlukan penyelidik berasaskan dasar," katanya.
Beliau berkata kerajaan harus menganjurkan lebih banyak perdebatan awam dan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan sebelum menggubal dasar.
"Melalui cara ini, kerajaan melangkah setapak lebih dekat untuk menjadi sebuah negara yang besar," katanya.
Beliau menegaskan bahawa GMM sedang menyelaras proses rundingan yang dipanggil 'Masa Depan Malaysia' (MDM) dengan Akademi Belia, dan menambah bahawa GMM berminat memupuk penyelidik muda.
"Kami berharap dapat menjadi pembina jambatan untuk sektor kerajaan dengan para penyelidik.
"Ia dijangka dilengkapkan pada akhir tahun ini apabila cadangan akan dikemukakan kepada kerajaan dan diharapkan ia akan menjadi input yang diambil kira dalam pembentukan dasar-dasar dan program pembangunan negara" kata Saifuddin.
MDM dilancarkan pada 16 Sept tahun lepas bermula dengan siri rundingan dengan pihak berkepentingan bertujuan melahirkan dokumen rakyat mengenai hala tuju negara pada masa depan.
#bangsa #Saifuddin Abdullah #Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global