'Bangsa Johor' bukan bersifat memisah, ia menyatukan kerencaman - MB Johor

Astro Awani
Ogos 25, 2016 06:41 MYT
MOHAMED KHALED: Nasionalisme Johor dan konsep Bangsa Johor adalah identiti unik yang telah lama wujud.
Kebangkitan nasionalisme Johor dalam apa cara sekalipun bukan bertujuan untuk menjurus kepada perpisahan daripada Persekutuan Malaysia, ujar Menteri Besar Johor Datuk Mohamed Khaled Nordin.
Menurutnya, istilah ‘Bangsa Johor’ adalah satu identiti politik Johor yang menjurus kepada perpaduan dan sikap muhibah.
“Bangsa Johor menyeru kepada muafakat pelbagai kaum, malah menyatukan segala kerencaman bangsa, agama dan keturunan di bawah satu identiti kenegerian yang bersandarkan kepada keharmonian, persefahaman dan toleransi,” ujar beliau.
Mohamed Khaled berkata demikian bagi merujuk kepada pandangan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Rabu dalam sebuah forum, yang menyatakan bahawa ungkapan ‘Bangsa Johor’ menggalakkan rasa bangga diri yang tidak sihat, dan hanya akan memecahbelahkan rakyat Malaysia.
Jelas Khaled, Bangsa Johor yang bersatu padu, maju, harmoni dan berada dalam keadaan terbaik bukan sahaja akan menjadikan Johor dan masyarakatnya lebih baik, malah akan menjadikan Malaysia dan masyarakatnya juga lebih baik.
“Ia mengukuhkan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan. Negeri-negeri yang kuat, dengan masyarakat yang kuat akan membentuk persekutuan yang kuat,” jelasnya yang menegaskan bahawa Johor akan terus mendukung hubungan eratnya dengan Kerajaan Persekutuan.
Khaled juga mengingatkan, nasionalisme Johor dan konsep Bangsa Johor adalah identiti unik yang telah lama sebati dengan Johor dan amalan masyarakatnya.
“Seawal 1920-an DYMM Almarhum Sultan Sir Ibrahim memperkenal dan menggunakan istilah tersebut. Ini bermakna, penggunaan Bangsa Johor sudah wujud lebih awal dari kemerdekaan dan kewujudan Malaysia,” kata beliau.
Khaled juga menyeru semua pihak agar meneladani kebangkitan Johor dan nasionalismenya, dan berharap ia diteladani dan menjadi pacuan moral untuk lebih menghargai kepelbagaian berbangsa dan bernegara secara progresif dan sihat.
Terdahulu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut membidas dakwaan Tun Mahathir itu dan meminta beliau menutup mulut daripada membuat sebarang kenyataan mengenai konsep Bangsa Johor.
Memetik portal berita The Star, baginda berkata konsep Bangsa Johor itu lahir daripada gagasan kerabat keluarga baginda sejak tahun 1920-an, bertujuan untuk menyatupadukan rakyat negeri itu.
#Bangsa Johor #Johor #Mohamed Khaled Nordin #Persekutuan Malaysia #Tun Dr Mahathir Mohamad