Banglo lambang cinta kembali diancam hakisan ombak
Sinar Harian
Februari 2, 2025 18:45 MYT
Februari 2, 2025 18:45 MYT
KUALA NERUS: Belum sempat menarik nafas lega selepas kerja-kerja pembinaan benteng sementara selesai, sebuah banglo yang sebelum ini mendapat perhatian akibat hakisan pantai di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini kembali diancam risiko runtuh.
Pemiliknya, Mohd Yazit Idris, 66, berkata, keadaan itu berlaku disebabkan ombak besar dan angin kencang melanda sejak tiga hari lalu menyebabkan kawasan sejauh tujuh meter dari kediaman itu menghala ke pantai hilang 'ditelan' ombak.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan batu-batu besar yang diletakkan sebagai benteng sementara runtuh serta dihanyutkan arus ke laut.
"Masalah hakisan di sini diramalkan semakin buruk dalam beberapa minggu lagi memandangkan fenomena ombak besar belum lagi berakhir.
"Walaupun telah beberapa kali ditimpa situasi ini, setakat ini saya masih lagi berfikiran positif bahawa banglo ini masih mampu diselamatkan," katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.
Mohd Yazit berkata, sebagai langkah awal dia akan terus menambak tanah dan batu di kawasan kritikal buat sementara waktu.
Ujarnya, dia yakin banglo itu mampu lagi diselamatkan memandangkan terdapat pakar mengatakan masalah hakisan di kawasan itu masih boleh diatasi.
"Saya akan terus berusaha menggunakan sumber kewangan yang ada untuk memastikan banglo ini bertahan sementara projek pembinaan benteng pemecah ombak disambung semula," katanya.
Mohd Yazit berkata, pembinaan benteng pemecah ombak berdekatan banglo berkenaan akan disambung selepas Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berakhir pada Mac depan.
"Untuk jangka masa panjang sudah tentu projek pembinaan benteng pemecah ombak dapat membantu memulihkan kembali keadaan di sini.
"Ada pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) datang meninjau keadaan di sini dan saya berharap agar projek ini dapat diteruskan sekali gus menyelamatkan banglo ini," ujarnya.
Sebelum ini, kisah banglo bernilai RM600,000 milik Mohd Yazit yang dikhuatiri musnah akibat fenomena hakisan tular di media sosial selepas mendapat liputan Sinar Harian pada Disember tahun lalu.
Banglo itu dibina dan dihadiahkan buat arwah isterinya, Siti Rashiddah Mohd Yunos, 66, yang menyukai kawasan itu ketika hayatnya. - Sinar Harian