'Banglo Khir Toyo lagi mewah' - Guan Eng

Dewi Nur Harasha Alias
Mac 20, 2016 18:49 MYT
Wakil media dibawa melawat rumah Guan Eng di Jalan Pinhorn yang dibeli pada harga rendah sejumlah RM2.8 juta selepas sidang akhbar di Komtar hari ini. - Foto BERNAMA
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mempertahankan bahawa banglo yang dibelinya pada harga RM2.8 juta adalah untuk keluarga kelas menengah atasan.
Malah tegas beliau, banglo tersebut adalah terlalu jauh untuk dibandingkan dengan banglo kontroversi milik bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.
"Ya, rumah sebegini untuk keluarga kelas menengah atasan, tetapi jauh sekali untuk dibandingkan dengan rumah agam milik Khir Toyo," kata Guan Eng semasa membawa wakil-wakil media melawat beberapa kawasan di dalam banglo tersebut.
Mengenai isu yang mengatakan bahawa pembelian rumah pada harga di bawah nilai pasaran pula, Setiausaha Agung DAP itu menegaskan ia telahpun dipersetujui oleh pemilik sebelum ini.
Namun tambah Guan Eng, proses jual beli tertangguh pada waktu itu kerana belum pasti sama ada beliau mampu mempertahankan jawatannya pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.
Pada Julai tahun lalu, beliau membeli kediaman berkenaan melalui pinjaman bank RM2.1 juta dan wang tunai RM700,000.
"Pemilik telah menawarkan rumah tersebut pada harga RM2.8 juta pada 2012 kepada isteri saya dan mereka bersetuju untuk mengekalkan harga yang diputuskan pada 2012.
"Pada waktu itu saya belum pasti sama ada akan dipilih semula (PRU-13) atau pun tidak, dan kita memerlukan wang untuk membayar semula pinjaman dan sebagainya," ujar Guan Eng.
Pada masa yang sama, beliau mencabar menteri-menteri besar dan menteri-menteri peringkat pusat mendedahkan kediaman mereka kepada rakyat.
Ketua Menteri Pulau Pinang ini membawa wakil-wakil media supaya melihat sendiri banglo tersebut ketika banyak pihak membandingkan beliau dengan kontroversi Dr Mohamad Khir Toyo.
Dr Mohamad Khir dipenjarakan pada september tahun lalu, atas tuduhan salah guna kuasa sebagai penjawat awam.
Beliau didapati bersalah memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo yang bernilai lebih RM6 juta, dengan harga RM3.5 juta pada 2007.
#kontyroversi pembelian rumah #rumah agam Khir Toyo #rumah banglo Lim Guan Eng
;