Banglo Guan Eng: Peguam Negara serah kembali kertas siasatan kepada SPRM

Astro Awani
Jun 6, 2016 15:32 MYT
APANDI: Jabatan ini mendapati terdapat beberapa tindakan yang perlu disiasat lanjut bagi melengkapkan siasatan. - Filepic
Jabatan Peguam Negara hari ini mengembalikan kertas siasatan berkaitan kes yang melibatkan penjualan banglo Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut satu kenyataan dikeluarkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, tindakan itu diambil setelah jabatan tersebut meneliti dan mengkaji kertas siasatan itu yang diterima pada 26 Mei lalu.
"Setelah meneliti keseluruhan keterangan di dalam kertas siasatan tersebut, jabatan ini telah mendapati bahawa terdapat beberapa tindakan yang perlu disiasat lanjut bagi melengkapkan siasatan kes ini.
"Oleh itu, jabatan ini telah pada hari ini mengembalikan kertas siasatan tersebut untuk membolehkan pihak SPRM melaksanakan siasatan lanjut bagi melengkapkan siasatan," kata Mohamed Apandi.
Beliau juga berkata, Jabatan Peguam Negara juga telah mengarahkan agar kertas siasatan tersebut dikembalikan dalam masa terdekat.
Pembelian banglo itu oleh Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, menimbulkan kontroversi susulan pendedahan dibuat Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya di Dewan Rakyat.
Banglo yang terletak di No. 25, Jalan Pinhorn, Pulau Pinang itu didakwa dibeli pada harga lebih rendah dari pasaran iaitu RM2.8 juta.
Pembelian itu juga didakwa berkaitan dengan penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis yang pada asalnya dikhususkan untuk projek perumahan rakyat miskin di negeri itu.
Pada 22 Mei, beberapa pegawai SPRM dilihat melakukan siasatan di kediaman milik Lim tersebut.
#banglo #Jabatan Peguam Negara #Jalan Pinhorn #Lim Guan Eng #Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia a
;