Bangkit lawan COVID-19, wujudkan integrasi ekonomi serantau - Hishammuddin

Harits Asyraf Hasnan
Jun 19, 2021 18:33 MYT
Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata integrasi ekonomi serantau merupakan langkah penting untuk memastikan sesebuah negara itu lebih kukuh dalam menentang wabak itu. - Foto Twitter/Antalya Diplomacy Forum
KUALA LUMPUR: Negara-negara di benua Asia perlu memastikan wujud integrasi ekonomi serantau dalam menangani impak teruk pandemik COVID-19 yang sedang melanda.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata ia merupakan langkah penting untuk memastikan sesebuah negara itu lebih kukuh dalam menentang wabak itu.
Mengambil contoh Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Hishammuddin berkata ia berjaya mengurangkan impak ekonomi dalam kalangan negara yang merangkumi sekitar 30 peratus populasi dunia.
"Para anggota akan saling berkongsi kekuatan mereka dalam teknologi, pembuatan, pertanian dan sumber semula jadi.
"Ekonomi kita akan menjadi lebih cekap secara individu dan lebih kompetitif di peringkat global sebagai sebuah blok.
"Asia Timur juga akan menjadi lebih menarik bagi pelabur dan rakan dagang dari Eropah dan Amerika Latin," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi panel bertajuk Kerjasama Serantau di Asia seiring penganjuran Antalya Diplomacy Forum yang berlangsung di Antalya, Turki pada Sabtu.
Jelasnya lagi, semua negara adalah saling bergantung, selain perlu mengumpulkan sumber dan kelebihan dimiliki pelbagai negara secara bersama dalam menyelesaikan masalah yang kompleks.
Justeru, Hishammuddin berpandangan setiap negara adalah saling memerlukan untuk mencapai hasil sebenar dan berkekalan yang memberi manfaat bukan hanya pada sesuatu negara, tetapi juga penduduk global.
Sesi satu jam itu dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif, Conference on Interaction and Confidence-Building Measures in Asia, Kairat Sarybay.
Selain Hishammuddin, sesi panel itu turut menampilkan empat lagi Menteri Luar iaitu Abdulaziz Kamilov (Uzbekistan), Sirojiddin Muhriddin (Tajikistan), Makhdoom Shah Mahmood Qureshi (Pakistan) dan Ruslan Kazakbaev (Kyrgyzstan).
#Hishammuddin Hussein #pandemik #COVID-19 #ekonomi #lawan COVID-19 #impak ekonomi #impak COVID-19 ekonomi #pemulihan ekonomi COVID-19 #intergrasi serantau #integrasi ekonomi #RCEP #CPTPP
;