Bangkai pesawat MH370 ditemui?
Agensi
Mac 19, 2018 15:33 MYT
Mac 19, 2018 15:33 MYT
Seorang pakar Australia dalam siasatan kemalangan udara mendakwa telah menemui pesawat MH370 yang hilang empat tahun lalu menerusi aplikasi Google Earth.
Penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Beijing itu membawa 239 orang apabila pesawat tersebut dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014.
Jurutera mekanikal Australia, Peter McMahon yang mendakwa telah bekerja dalam siasatan kemalangan selama lebih 25 tahun menegaskan bahawa dia telah menemui pesawat itu, lapor Daily Star Online.
Tiada kenyataan rasmi telah dikeluarkan atas dakwaan itu.
McMahon yang berusia 64 tahun itu berkata beliau mengkaji imej Agensi Aeronautik dan Pentadbiran Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) dan Google Map sejak pesawat itu hilang. Beliau telah memberi fokus di lokasi 16km selatan Pulau Round, sebuah pulau kecil di utara Mauritius.
"Empat warga Amerika dihantar ke Australia untuk menyelia penemuan MH370.
"Mereka telah memastikan semua maklumat yang diterima disembunyikan daripada orang awam, malah kerajaan - tetapi mengapa?," McMahon dipetik sebagai berkata oleh portal tersebut.
McMahon juga mendakwa pesawat itu penuh dengan lubang peluru.
Beliau berkata pihak berkuasa tidak mahu ia ditemui kerana ia penuh dengan lubang peluru dan akan membuka kepada siasatan terbaharu.
Portal antarabangsa, The Daily Mirror juga membawa laporan dengan tangkapan skrin (screenshot) yang didakwa diambil dari aplikasi, Google Earth. Gambaran yang dipaparkan menunjukkan iej sebuah pesawat di bawah permukaan air.
Kehilangan dianggap oleh pakar-pakar penerbangan sebagai satu kejadian misteri dan usaha mencarinya masih gagal hingga kini.
Sejak awal tahun ini, tiada bukti konkrit telah ditemui termasuk operasi pencarian terkini yang dilakukan oleh sebuah syarikat penerokaan dasar laut Amerika Syarikat kawasan pencarian lebih daripada 16,000 km persegi.
Setakat ini, hanya tiga serpihan MH370 yang telah disahkan di pantai barat Lautan Hindi, termasuk komponen sayap dua meter yang dikenali sebagai flaperon.
#Amerika Syarikat
#Australia
#Beijing
#ditemui
#flaperon
#Google Earth
#Lautan Hindi
#Malaysia Airlines
#MH370
#NASA
#Peter McMahon