Bangkai pesawat MH17 tanpa sayap imbau kekejaman tragedi menyayat hati

Bernama
Julai 16, 2024 06:20 MYT
Pengalaman menyaksikan keadaan terkini pesawat malang itu menjadi detik yang menyayat hati dan begitu memilukan. - Foto fail/REUTERS
PANGKALAN UDARA GILZE-RIJEN: Keadaan serpihan pesawat MH17 Malaysia Airlines (MAS) yang cuba dibina semula tanpa sayap, tayar, ekor dan tempat duduk penumpang cukup menggerunkan sekali gus mengingatkan pada kekejaman yang meragut nyawa 298 orang di dalamnya sedekad lepas.
Pesawat Boeing 777 dengan 6.09 meter lebar dan 60.9 meter panjang itu ditembak jatuh di timur Ukraine sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam, mengorbankan kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal di dalamnya pada 17 Julai 2014.
Difahamkan bahawa serpihan MH17 itu dicantumkan semula untuk tujuan siasatan bagi prosiding jenayah dan sivil, dan wartawan telah dibenarkan untuk memasuki pesawat yang dibina semula - dengan apa yang masih tinggal - untuk melihat keadaan pesawat.
Kumpulan wartawan Malaysia yang menyaksikan serpihan pesawat yang dibina semula semasa lawatan ke pangkalan tentera di Gilze-Rijen, di bahagian tengah Belanda itu, hampir tidak mengenali struktur kokpit, termasuk tempat duduk juruterbang dan panel kawalan.
Pengalaman menyaksikan keadaan terkini pesawat malang itu menjadi detik yang menyayat hati dan begitu memilukan.
Dalam tragedi itu, kokpit menerima hentaman awal apabila ia ditembusi serpihan peluru berpandu manakala bahagian lain pesawat berkecai sebelum jatuh ke bumi.
Pesawat yang dibina pada 1997 itu mempunyai rekod penyelenggaraan yang bersih dan kali terakhir diperiksa pada 11 Julai 2014, enam hari sebelum ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK ketika terbang di ruang udara di timur Ukraine
Penyiasat berdepan kesukaran mengumpul semua serpihan yang bertebaran di enam lokasi berikutan konflik yang masih berterusan di timur Ukraine.
Bahagian ekor jatuh kira-kira enam kilometer dari lokasi kokpit ditemui manakala bahagian tengah pesawat musnah terbakar.
Kesemua mangsa adalah dari 17 negara termasuk 198 warga Belanda, 43 warga Malaysia, 38 dari Australia dan 10 dari United Kingdom.
Pada 17 Nov 2022, Mahkamah Daerah Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua bekas ejen perisikan Rusia Igor Girkin dan Sergei Dubinskiy serta pemimpin pemisah Ukraine Leonid Kharchenko selepas mendapati mereka bersalah atas pertuduhan menyebabkan nahas MH17 dan membunuh kesemua 298 orang di dalamnya.
Bagaimanapun, mahkamah membebaskan seorang lagi rakyat Rusia, Oleg Pulatov atas tuduhan sama.
-- BERNAMA
#MH17 #MAS #kekejaman #prosiding jenayah
;