Bangkai penyu hijau ditemukan di Pantai Manikar

Bernama
Februari 27, 2024 23:47 MYT
Bangkai seekor penyu hijau jantan (Chelonia Mydas) ditemukan di Pantai Manikar berhampiran Palm Beach Resort & Spa hari ini. - BERNAMA
LABUAN: Bangkai seekor penyu hijau jantan (Chelonia Mydas) ditemukan di Pantai Manikar berhampiran Palm Beach Resort & Spa di sini hari ini.
Bangkai berukuran satu meter panjang dan berat lebih 50 kilogram itu ditemukan pasangan pelancong dari England pada 3.15 petang dan kemudian memaklumkan kepada seorang kenalan tempatan.
Jabatan Perikanan Labuan kemudian dimaklumkan tentang penemuan bangkai itu untuk tindakan lanjut.
Penemuan terbabit merupakan kedua dalam bulan ini selepas bangkai seekor penyu hijau tanpa sirip dan kepala ditemukan pekerja Restoran Thai Beach di Pantai Nagalang, di sini, pada 17 Feb lepas.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Labuan Sufian Ahmad ketika dihubungi berkata penyu hijau berkenaan dipercayai mati di laut sebelum dihanyutkan ke darat.
"Pemeriksaan pada bahagian luar bangkai didapati keadaannya masih utuh, namun siasatan terperinci akan dilakukan untuk mengetahui punca kematian penyu itu," katanya.
-- BERNAMA
#bangkai penyu hijau #Pantai Manikar #Jabatan Perikanan Labuan #Chelonia mydas
;