Bangkai penyu agar ditemui di Pantai Pelindung

Bernama
Mac 11, 2025 21:30 MYT
Bangkai penyu agar jantan dewasa ditemukan terdampar di pesisir Pantai Pelindung, hari ini. - Foto Jabatan Perikanan Pahang/via Sinar Harian
KUANTAN: Bangkai penyu agar jantan dewasa ditemukan terdampar di pesisir Pantai Pelindung di sini, hari ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Pahang Muhammad Nur Ashry Bassari berkata pihaknya menerima laporan penemuan bangkai haiwan marin itu daripada orang awam dan hasil siasatan mendapati penyu bersaiz 87 sentimeter (cm) dan 78 cm lebar itu dipercayai mati akibat lemas.
"Pemeriksaan lanjut oleh pegawai Jabatan Perikanan Pahang mendapati kepala penyu tersebut mengalami pembengkakan selain terdapat kesan darah pada badannya.
"Setelah siasatan selesai, bangkai penyu telah ditanam di kawasan berhampiran mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, beliau menasihatkan nelayan agar tidak menggunakan pukat hanyut, pukat insang atau sebarang jenis pukat dengan saiz mata melebihi 25.4 cm yang beroperasi dari permukaan air hingga ke dasar laut sama ada secara hanyut atau bersauh.
Beliau berkata penggunaan alat tangkapan seperti itu adalah satu kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan nelayan juga diingatkan supaya melepaskan kembali penyu yang tersangkut pada pukat serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencederakan haiwan marin itu.
"Selain itu, penggunaan alat penyisih penyu atau Turtle Excluder Device (TED) amat digalakkan, terutamanya bagi peralatan pukat tunda sebagai langkah proaktif dalam usaha pemuliharaan penyu," katanya.
Beliau berkata kerjasama dan keprihatinan komuniti nelayan amat diperlukan bagi memastikan kelangsungan populasi penyu di perairan negara selain pihak jabatan akan terus memantau serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan pemuliharaan hidupan marin dilaksanakan dengan berkesan.
-- BERNAMA
#bangkai penyu #penyu agar #ditemui #Pantai Pelindung
;