Bangkai kapal lama timbul selepas banjir di Lipis dianggar berusia 200 tahun

Bernama
Januari 16, 2021 17:12 MYT
Kapal yang diperbuat daripada binaan kayu dan tembaga itu berkemungkinan besar ialah kapal dagang milik Inggeris. - Gambar fail
KUANTAN: Rangka kapal yang ditemukan selepas banjir surut di Kampung Penjom, Kuala Lipis kira-kira 220 kilometer dari sini pada dua hari lalu, dianggarkan dibina pada abad ke-18 dan 19.
Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN), Mesran Mohd Yusop berkata kapal yang diperbuat daripada binaan kayu dan tembaga itu berkemungkinan besar ialah kapal dagang milik Inggeris atau digunakan oleh pembesar pada zaman tersebut.
Syarikat itu dipercayai mengalami zaman kejatuhan pada akhir abad ke-19 dan merosot pada awal abad ke-20 dan pada 1924, ia bergabung menjadi British Copper Manufacturers Limited yang kemudiannya diambil alih oleh Yorkshire Imperial Metals pada 1926.
"Pemeriksaan pada bahagian dalam kapal tidak menemukan artifak melainkan serpihan seramik buat masa ini. Namun, pihak kami mendapati terdapat kesan kapal itu telah diganggu dipercayai oleh mereka yang mengambil komponen seperti paku atau dinding kapal disalut tembaga.
"Kita percaya barangan tersebut dijual kepada pembeli barangan lusuh kerana semalam, selepas dinasihatkan polis, sebuah syarikat barangan lusuh telah memulangkan komponen yang dianggarkan seberat 100 kilogram yang dijual kepada mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sehubungan itu, Mesran memohon mereka yang menyimpan komponen atau barangan diambil dari kapal tersebut untuk segera memulangkannya kepada polis memandangkan ia adalah sebahagian daripada warisan negara.
Mesran berkata JWN juga akan memulakan kerja penyelamatan dan pemindahan rangka kapal itu bagi tujuan penyelidikan dan pencarian bukti sejarah, dan bagi tujuan itu, rangka kapal tersebut akan dipindahkan ke Muzium Warisan Kuala Lipis.
Kapal lama timbul selepas banjir di Lipis
"Bagaimanapun, sementara kapal itu masih berada di lokasi penemuan, kami akan meminta bantuan polis untuk terus memantau lokasi tersebut bagi mengelakkan berlaku lagi insiden pencerobohan atau kehilangan objek," katanya.
Rangka kapal itu ditemukan terdampar di tepi Sungai Lipis, berdekatan jambatan gantung Sungai Kampung Pagar Penjom pada Khamis lepas (14 Jan) dipercayai kesan akibat banjir yang melanda kampung tersebut pada 3 Jan.
-- BERNAMA
#kapal lama #timbul #banjir #lipis #berusia #ratusan tahun #Jabatan Warisan Negara #JWN #Artifak #Warisan #sejarah
;