Bangkai kapal berusia ratusan tahun timbul selepas banjir
Astro Awani
Januari 15, 2021 18:35 MYT
Januari 15, 2021 18:35 MYT
KUALA LIPIS: Banjir besar yang melanda daerah Lipis baru-baru ini telah menyebabkan bangkai sebuah kapal lama berusia ratusan tahun timbul sebelum ditemui terdampar di tepi sungai berhampiran Jambatan Gantung Sungai Kampung Pagar, Penjom, di sini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata bangkai kapal kayu itu ditemui seorang wanita berusia 50 tahun pada jam 5 petang semalam, sebelum dia membuat laporan di Balai Polis Penjom.
"Polis kemudian pergi ke kawasan penemuan dan siasatan mendapati beberapa komponen pada kapal tersebut telah tiada. Hasil temu bual dengan penduduk setempat mendapati sekumpulan penduduk kampung dipercayai telah mengambil (beberapa) komponen kapal itu.
"Kita ingin tegaskan, mana-mana individu yang menjumpai warisan kebudayaan penting perlu serta-merta membuat laporan kepada pihak berkuasa.
"Kes (penemuan kapal dan kehilangan komponen) disiasat mengikut Seksyen 47 Akta Warisan Kebangsaan 2005 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun," katanya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihaknya telah memaklumkan penemuan itu kepada Jabatan Warisan Negara (JWN) untuk tindakan lanjut.
Katanya, buat masa ini, bangkai kapal tersebut dalam jagaan sementara pihaknya sebelum diambil alih JWN.
Sementara itu, Astro AWANI difahamkan terdapat satu objek logam yang bertulis Vivia and Sons Sheating pada badan kapal berkenaan dan hasil carian Wikipedia menunjukan syarikat tersebut ditubuhkan pada tahun 1803.
#kapal lama
#bangkai
#ratusan tahun
#banjir
#Kuala Lipis
#bangkai kapal
#Sungai
#timbul
#terdampar
#Jabatan Warisan Negara