Bangkai ikan lumba-lumba ditemui terdampar di Pantai Ruat

Bernama
April 15, 2024 16:12 MYT
Bangkai ikan lumba-lumba ditemukan terdampar di Pantai Ruat disyaki akibat terkena kipas bot. -APM
ALOR SETAR: Bangkai seekor ikan lumba-lumba dianggarkan seberat 220 kilogram dan panjang 1.8 meter ditemui terdampar di pesisiran Pantai Ruat di Yan semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Yan Leftenan (PA) Zul Izzi Zulkifli berkata pihaknya menerima makluman mengenai penemuan bangkai ikan lumba-lumba itu daripada orang awam pada kira-kira 5 petang.
"Enam anggota APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) digerakkan ke lokasi kejadian dan sebaik tiba mendapati seekor ikan lumba-lumba telah terdampar di pantai itu disyaki terkena kipas bot.
"APM kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Perikatan Negeri Kedah dan mengalihkan bangkai ikan itu ke lokasi lain bagi tindakan seterusnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata ini merupakan kes pertama penemuan bangkai ikan lumba-lumba di sini yang dikendalikan oleh pihak APM.
-- BERNAMA
#bangkai ikan lumba-lumba #Pantai Ruat #pertahanan awam #kipas bot
;