Bangkai helikopter Pasukan Pertahanan Maritim Jepun ditemukan di dasar laut

Bernama
Julai 20, 2024 06:20 MYT
Pada April, dua helikopter JMSDF bertembung dan terhempas semasa latihan di luar Kepulauan Izu, mengakibatkan kematian lapan anak kapal. - Gambar fail/ JMSDF
TOKYO: Bangkai sebuah helikopter Pasukan Pertahanan Maritim Jepun (JMSDF) yang hilang pada April telah ditemukan di dasar laut pada Sabtu, dengan kemungkinan terdapat sebuah lagi pesawat berdekatan, lapor Xinhua yang memetik media tempatan.
Penemuan itu susulan kemalangan pada April apabila dua helikopter JMSDF bertembung dan terhempas semasa latihan di luar Kepulauan Izu, mengakibatkan kematian lapan anak kapal.
Kementerian Pertahanan telah menugaskan Agensi Sains dan Teknologi Marin-Bumi Jepun (JAMSTEC) untuk menjalankan pencarian di laut dalam menggunakan kapal selam tanpa pemandu disebabkan kedalaman lokasi sekitar 5,500 meter, menurut penyiar nasional NHK.
Sehingga Jumaat, penyelidik tanpa pemandu JAMSTEC, Deep Tow, yang dilengkapi dengan sonar canggih dan kamera yang mampu meneroka kedalaman sehingga 6,000 meter telah menemukan satu daripada helikopter yang terhempas.
Pengenalan telah disahkan melalui padanan nombor pesawat.
Siasatan lanjut mendedahkan objek lain di kawasan berdekatan, dipercayai helikopter kedua yang hilang, kata laporan itu.
Pengesahan lanjut sedang dijalankan untuk menentukan kebolehlaksanaan mengeluarkan bangkai berkenaan.
Kementerian Pertahanan akan menilai dengan teliti keadaan bawah air untuk memutuskan langkah seterusnya bagi operasi penyelamatan yang berpotensi, menurut NHK.
-- BERNAMA
#Jepun #helikopter terhempas #JMSDF #bangkai helikopter