Bangkai helikopter dihantar ke Lapangan Terbang Subang untuk siasatan - Polis
Fareez Azman
November 8, 2020 18:31 MYT
November 8, 2020 18:31 MYT
HULU KELANG: Bangkai helikopter yang terhempas di Taman Melawati di sini, pada Ahad telah dileraikan dan dibawa keluar dari lokasi kejadian.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati, kerja-kerja meleraikan bahagian pesawat serta mengumpulkan serpihannya dijalankan oleh beberapa petugas khas.
Badan, rangka dan serpihan helikopter itu kemudian diangkat menggunakan kren sebelum dimasukkan ke dalam sebuah treler.
Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha, bangkai helikopter terbabit dibawa ke Lapangan Terbang Subang untuk siasatan lanjut.
“Bangkai helikopter ini akan dihantar ke Subang Airport (Lapangan Terbang Subang) di hangar Sistematic Aviation Services (SAS) untuk siasatan lanjut yang akan dikendalikan oleh pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan.
“Buat masa sekarang kita klasifikasikan kematian dua mangsa sebagai kematian mengejut," katanya dalam sidang media pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, dua helikopter yang berlepas dari Lapangan Terbang Subang ke Genting Sempah disahkan bertembung di udara sebelum salah sebuah terhempas di Taman Melawati, di sini.
Dua mangsa disahkan maut iaitu Mohd Irfan Mohamed Rawi, 41, dan Mohd Sabri Baharom, 56.
Sebuah lagi helikopter dinaiki bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Datuk Ahmad Jauhari Yahya serta Tan Chai Elan sempat membuat pendaratan cemas dan mereka dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
#helikopter terhempas
#Taman Melawati
#hulu kelang
#helikopter
#bangkai pesawat
#lapangan terbang Subang
#Sistematic Aviation Services
#Pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara