Bangkai dugong ditemukan di Mersing

Bernama
April 21, 2017 16:44 MYT
Dugong merupakan antara spesies terancam di dunia. - Gambar hiasan/Reuters
Seekor dugong ditemukan mati terdampar di sebuah kawasan kampung di Pulau Tinggi, Mersing, petang semalam.
Pengerusi Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata bangkai mamalia itu dijumpai orang awam pada 5 petang.
Ia kemudian dihantar ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Mersing untuk bedah siasat oleh Jabatan Veterinar Johor dan pegawai penyelidikan mamalia marin dari Pusat Penyelidikan Perikanan Rantau Abang, Terengganu.
"Butiran sebab kematian belum diterima tetapi kewujudan dugong di negeri ini memang sudah lama. Itu sebab kita hendak lindungi (dugong) dengan menjadikan kawasan itu sebagai santuari dugong," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Ini bukan kali pertama dugong ditemukan terdampar di Johor. Pada 2015, seekor dugong terdampar di Pulau Sibu diikuti dua ekor dugong masing-masing di Kuala Sedili dan sekali lagi di Pulau Sibu, tahun lepas.
-- BERNAMA
#Datuk Ayub Rahmat #dugong #Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia
;