Banduan terakhir lari dari Penjara Jelebu diberkas

Bernama
Mei 28, 2022 23:41 MYT
Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan bersama dua lagi lelaki masing-masing berusia 23 tahun kira-kira pukul 5.30 pagi, 26 Mei lepas. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Seorang lagi banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu bulan lepas berjaya ditahan di sebuah bengkel kenderaan di Assam Jawa, Kuala Selangor, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Ramli Kasa berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan bersama dua lagi lelaki masing-masing berusia 23 tahun kira-kira pukul 5.30 pagi, 26 Mei lepas.
"Bertindak atas maklumat awam, pengadu bersama pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) dan Balai Polis Kuala Selangor telah tahan tiga lelaki.
"Dalam tangkapan sama, polis telah merampas lapan peket lutsinar berisi disyaki heroin seberat 455.6 gram dan dua paket disyaki syabu seberat 24 gram. Nilai rampasan dadah berjumlah RM17,400," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, suspek telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu untuk tindakan lanjut.
Pada 18 April lepas, enam banduan yang ditahan semula itu telah didakwa di Mahkamah Majistret Bahau, di sini atas kesalahan melarikan diri dari Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Jabatan Penjara Malaysia, namun kesemua mereka tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu.
Dilaporkan siasatan polis mendapati kejadian kira-kira 6 pagi pada 10 April itu berlaku di Blok Muhasabah 2, institusi berkenaan yang kesemua tujuh banduan terbabit ditempatkan. Mereka dipercayai melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi menuju semak di belakang penjara itu.
-- BERNAMA
#banduan lari dari penjara #Penjara Jelebu #polis #Dadah
;