Banduan lolos di Kluang berjaya diberkas
Astro Awani
Mac 21, 2021 10:04 MYT
Mac 21, 2021 10:04 MYT
KLUANG: Seorang banduan yang lolos dari Pusat Tahanan Reintergrasi di Kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Padang Hijau, di sini, pada Sabtu berjaya diberkas.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata banduan tersebut ditangkap semula di kawasan perumahan Ladang Cattle Queen Padang Hijau, lapor Sinar Harian.
"Tangkapan ini adalah hasil maklumat orang awam yang melihat seorang lelaki berlegar-legar di kawasan tersebut.
"Banduan tersebut merupakan pesalah yang telah dijatuhkan hukuman di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) pada 25 Februari lalu di Mahkamah Majistret Johor Bahru," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Dalam kejadian pada jam 4.50 petang Sabtu, empat banduan lelaki melarikan diri sebelum pegawai warden memaklumkan perkara itu kepada polis.
Tiga banduan berjaya ditangkap semula manakala seorang tahanan lagi berjaya melarikan diri sebelum berjaya diberkas semula beberapa jam selepas itu.
Mereka merupakan banduan yang sudah dituduh di mahkamah dan dihantar ke PLKN untuk tapisan keselamatan COVID-19 (PTP) untuk 14 hari sebelum dihantar ke Ulu Choh, Pontian.
#banduan lolos
#Pusat Tahanan Reintergrasi
#ditahan semula
#Kem Program Latihan Khidmat Negara
#plkn
#Padang Hijau
#Low Hang Seng