Banduan larikan diri, polis Sibu lancar gerakan memburu

Mohd Surfri Affendi
Mei 30, 2021 07:27 MYT
Identiti suspek yang meloloskan diri dari penjara dikenal pasti sebagai Lee Ka Yieng, 49 tahun, dari Sarikei. - Foto PDRM
SIBU: Polis Sibu pada Ahad mengesahkan sedang memburu seorang banduan yang melarikan diri dari Penjara Pusat Sibu di sini pada tengah hari semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan termasuk menutup setiap pintu masuk ke daerah ini.
Identiti suspek, kata Stanley, dikenal pasti sebagai Lee Ka Yieng, 49 tahun, dari Sarikei.
“Ketika melarikan diri, dia merupakan pesalah yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan narkotik di Kapit pada November lalu," tambahnya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan bagaimana suspek dapat meloloskan diri dari penjara tersebut.
Tular di media sosial di daerah ini semalam, suspek turut merupakan kes positif COVID-19.
Namun, Stanley enggan memberi sebarang ulasan kerana belum mendapat maklumat lanjut mengenainya.
#Sibu #media sosial #penjara #COVID-19 #pintu masuk #banduan #melarikan diri #suspek #Lee Ka Yieng #Sarikei #Lolos #narkotik #Stanley Jonathan Ringgit #meloloskan diri
;