Banduan larikan diri dari Penjara Marang ketika ke tandas
Astro Awani
Januari 24, 2016 21:13 MYT
Januari 24, 2016 21:13 MYT
Seorang banduan menggunakan helah untuk ke tandas bagi meloloskan diri dari Penjara Marang, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Suhaimi Ali berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.20 pagi itu, banduan berkenaan sedang mengikuti kelas agama di penjara berkenaan.
Menurutnya, suspek kemudian meminta keizinan ustaz yang sedang mengajar untuk pergi ke tandas.
Namun, suspek tidak pulang semula ke kelas berkenaan dan berikutan itu, ustaz memaklumkan kejadian itu kepada warden yang bertugas.
Mohd Suhaimi tidak menolak kemungkinan suspek melarikan diri dengan memanjat pagar di belakang tandas berkenaan.
Katanya, suspek yang berasal dari Marang itu mula menjalani hukuman di penjara berkenaan pada 3 Januari lalu atas kesalahan mencuri.
Berikutan, beliau berkata, polis melancarkan Op Tutup bagi memburu suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya memaklumkannya kepada pihak berkuasa.