Banduan lari: Rombakan pegawai, anggota mungkin dibuat

Bernama
Julai 11, 2017 21:47 MYT
CHUAH: Apa yang kami boleh buat sekarang ialah pastikan mereka yang bertugas terutama penyelia mengikut SOP kerana dia (penyelia) perlu main peranan serta bertanggungjawab.
Polis Pulau Pinang tidak menolak kemungkinan akan membuat rombakan dan pertukaran pegawai serta anggota polis yang bertugas di lokap pusat Bayan Baru ekoran kejadian tahanan dibawa berjumpa keluarga sehingga berjaya meloloskan diri awal pagi Ahad.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye berkata ketika ini, pihaknya menunggu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) serta Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menjalankan siasatan secara terperinci sebelum membuat sebarang rombakan pegawai dan anggota bertugas di lokap itu.
Bagaimanapun, beliau berkata untuk langkah segera, prosedur lain terutama dari segi prosedur operasi standard (SOP) dan penyeliaan di lokap berpusat itu telah ditingkatkan serta diperketatkan dan jika perlu menukar penyelia, pihaknya akan membuat pertukaran dalam masa terdekat.
"Apa yang kami boleh buat sekarang ialah pastikan mereka yang bertugas terutama penyelia mengikut SOP kerana dia (penyelia) perlu main peranan serta bertanggungjawab, lagipun jika ia dipatuhi dapat mengurangkan salah laku.
"Dalam kes itu anggota polis menerima arahan daripada penyelia untuk membawa tiga tahanan termasuk suspek yang melarikan diri itu ke hospital selepas mereka mengadu sakit dan di sini kemungkinan dia (penyelia) mempunyai kaitan dalam perancangan itu (membawa keluar tahanan berjumpa keluarga)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, di sini hari ini.
Chuah berkata seorang daripada lapan anggota polis berusia 27 hingga 59 tahun yang ditahan itu merupakan dalang utama dan berperanan sebagai orang tengah selain menerima sejumlah bayaran sebelum mengagihkan kepada rakan sekerja yang lain.
"Berapa dia (dalang utama) kutip dan berapa dia bayar kepada yang lain itu masih dalam siasatan kerana ada dua orang yang mendakwa terima bayaran tapi jumlah tidak sama. Kami juga tidak menolak kemungkinan sebelum ini telah ada kejadian seumpama itu tetapi tidak berlaku seperti ini (tahanan melarikan diri)," katanya.
Beliau berkata seorang daripada anggota yang ditahan itu juga mempunyai satu dakwaan kes disiplin tetapi dia mungkin diberi amaran kerana bukan membabitkan isu besar atau serius.
Mengenai siasatan kes itu, Chuah berkata pihaknya menjalankan siasatan dari semua aspek termasuk mengarahkan lebih 200 pegawai dan anggota yang bertugas di lokap berpusat itu disiasat sama ada mereka turut terlibat dalam kes terbabit atau perkara lain.
Beliau berkata satu laporan komprehensif berhubung kes itu akan diserah kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk memberi gambaran apa yang berlaku dan cadangan yang boleh dibuat untuk penambahbaikan di lokap berpusat termasuk melakukan rombakan serta pertukaran pegawai dan anggota.
Sementara itu, Chuah berkata polis tidak menolak kemungkinan banduan yang lolos itu Anuar Ayat, 43, telah melarikan diri ke luar negara menggunakan jalan 'tikus'.
-- BERNAMA
#Chuah Ghee Lye #lokap Bayan Baru #polis #polis pulau pinang #rombakan
;