Banduan lari dari Hospital Sungai Buloh ditahan semula
Bernama
September 23, 2024 16:50 MYT
September 23, 2024 16:50 MYT
SUNGAI BULOH: Jabatan Penjara mengesahkan penangkapan semula banduan reman yang melarikan diri pada 18 Sept lepas semasa menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Sungai Buloh, Selangor.
Menurut kenyataan Jabatan Penjara, tangkapan itu dilakukan oleh pegawai penjara pada 11 pagi tadi di Terminal Bas Rapid Kuantan, Pahang berdasarkan siasatan dan maklumat yang diterima daripada orang awam.
"Banduan reman terbabit telah diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
"Berdasarkan syor daripada Lembaga Siasatan, Jabatan Penjara akan mengambil tindakan tegas dan segera kepada mana-mana individu yang didapati cuai dalam menjalankan tugas sehingga menyebabkan berlakunya kejadian banduan lari," menurut kenyataan itu.
Jabatan Penjara juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang awam serta mana-mana pihak yang telah membantu sepanjang operasi pencarian dijalankan.
Bernama sebelum ini melaporkan seorang banduan Penjara Sungai Buloh yang menerima rawatan di hospital berkenaan melarikan diri pada 3.56 petang, Rabu lepas.
Menurut laporan itu, polis menerima maklumat daripada pihak hospital yang memaklumkan seorang banduan tiada di katilnya dan disyaki melarikan diri.
- BERNAMA