Banduan insaf dan ingin kembali ke pangkuan keluarga

Bernama
Jun 24, 2016 07:36 MYT
Azri berasal dari Butterworth dan semasa ditahan, beliau bekerja sebagai penyelia kilang. - Gambar hiasan
"Apabila saya keluar nanti, saya berjanji akan menjadi seorang ayah yang baik kepada puteri saya".
Itulah janji dan azam seorang banduan yang ingin dikenali sebagai Azri, 32, yang kini berada di Penjara Reman Pulau Pinang selepas disabitkan bersalah kerana mengambil dadah dan dipenjarakan selama 20 bulan.
"Disebabkan dadah, saya tidak mampu melihat puteri saya membesar, keluarga saya berpecah dan saya kehilangan segalanya," katanya sambil menahan sebak ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama banduan di sini, semalam.
Azri berasal dari Butterworth dan semasa ditahan, beliau bekerja sebagai penyelia kilang.
Mengakui mula mengambil dadah sejak 2011 disebabkan tekanan hidup, dia pernah ditahan sebelum ini dan dibebaskan tetapi ditahan semula setelah melanggar perintah mahkamah untuk melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
"Setiap hari, saya terkenang anak saya, menyesali setiap perbuatan saya dan berikrar pada diri saya sendiri bahawa saya tidak akan sesekali menyentuh dadah lagi demi anak dan keluarga saya," katanya.
Azri yang akan keluar dari penjara pada Januari tahun depan berkata ini merupakan rayanya yang pertama tanpa keluarga di sisi.
"Ibu dan ayah saya telah meninggal dunia dan saya hanya ada bekas isteri dan anak dalam hidup saya," katanya yang telah bercerai dengan isterinya dan anak mereka kini di bawah jagaan bekas isterinya di Taiping.
Ketua Unit Agama Penjara Reman Pulau Pinang Mohd Fathul Amri Mohd Saleh berkata Azri merupakan antara banduan yang menunjukkan keazaman ingin berubah yang kuat.
Mohd Fathul berkata walaupun Azri dan isterinya telah berpisah, beliau tetap membawa anak mereka melawat Azri di penjara setiap hari lawatan.
"Azri sentiasa memberitahu saya bahawa beliau inginkan keluarganya kembali dan berazam untuk menjadi manusia yang lebih baik.
"Nalurinya sebagai seorang ayah sangat kuat dan saya sentiasa berdoa untuk dia," katanya.
Di penjara reman itu, terdapat 1,641 pesalah yang menjalani hukuman dan kebanyakan daripada mereka kerana kesalahan dadah.
Majlis berbuka puasa bersama banduan sempena menyambut bulan Ramadan anjuran pihak penjara itu merupakan acara tahunan untuk menyemai keinsafan dalam diri setiap pesalah dengan harapan mereka tidak akan mengulangi kesalahan yang sama selepas keluar nanti.
#Azri #banduan #berbuka puasa bersama banduan
;