Banduan hukuman mati: Kerajaan timbang gubal akta baharu bersifat sementara - Ramkarpal
Umavathi Ramayah
Februari 14, 2023 16:31 MYT
Februari 14, 2023 16:31 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menggubal satu akta baharu bersifat sementara yang akan memberi impak secara terus kepada 840 banduan yang menjalani moratorium pelaksanaan hukuman mati.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, angka itu mewakili hampir 64 peratus daripada 1,320 banduan yang dijatuhkan hukuman mati.
"Sementara itu, baki 480 banduan itu akan melalui proses rayuan seperti biasa," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PKR-Tebrau) yang meminta Perdana Menteri untuk menyatakan usaha kerajaan menghapuskan hukuman mati.
Mengulas lanjut Ramkarpal berkata, pelaksanaan dasar hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori dan tujuh kesalahan dengan hukuman tertakluk budi bicara mahkamah.
"Ia dijangka melibatkan pindaan peruntukan dalam akta Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Akta Senjata 1960 (Akta 206), Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan Akta Penculikan 1961 (Akta 365)," ujarnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa pindaan perundangan yang melibatkan polisi penghukuman dan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori itu merupakan perubahan positif kepada sistem keadilan jenayah.
"Ia dilihat lebih holistik dan inklusif demi manfaat bersama selain tidak menafikan hak asasi individu untuk mendapat keadilan sewajarnya.
"Selain itu, pelaksanaan polisi penghukuman dan hukuman gantian ini juga menunjukkan komitmen kerajaan untuk sentiasa terbuka ke arah pembaharuan dan penambahbaikan sistem perundangan dan keadilan di negara ini serta memastikan kemaslahatan masyarakat umumnya menjadi keutamaan," katanya.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata, semakan dan penelitian terhadap peruntukan akta-akta berkaitan dengan mengambil kira syor-syor daripada Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori sedang dilakukan.
"Semakan itu dibuat dengan turut mengambil pandangan kementerian atau jabatan berkepentingan sedang dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara untuk memastikan penetapan dasar terbaik berkaitan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.
"Kita perlu mengambil kira aspek pemerkasaan hak asasi manusia selain mempertimbangkan kos pengurusan banduan di penjara seluruh negara serta pelaksanaan restorative justice di Malaysia," jelasnya.