Banduan bebas PBSL tidak mahu lagi lukakan hati ibu

Bernama
Ogos 29, 2024 23:59 MYT
C. Charin Promwichit (dua, kanan) menyantuni sebahagian prospek yang dibebaskan melalui Program PBSL di Penjara Tapah hari ini. - Gambar Bernama
TAPAH: Penghuni Penjara Tapah yang dikenali sebagai Daniel berazam tidak mahu lagi melukakan hati ibunya dan berubah menjadi insan lebih baik.
Daniel disambut ibunya berusia 51 tahun selepas dibebaskan secara berlesen hari ini di bawah Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67.
Pemuda berusia 27 tahun itu yang dihukum penjara tujuh bulan atas kesalahan melupuskan barang curi menjadi antara 34 banduan di Perak dibebaskan menerusi program itu.
"Sebelum ini, saya banyak derhaka dengan ibu, banyak ikut cakap kawan-kawan sehinggakan saya berada di sini. Sejak berada di sini, bukan hanya ilmu agama malah saya telah mempunyai kemahiran dalam bidang penyaman udara.
"Kemahiran yang ada ini akan digunakan sebaiknya untuk menjana pendapatan bagi meneruskan kehidupan dengan ibu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam pada itu, ibunya yang hanya mahu dikenali sebagai Mami berkata hukuman itu seharusnya dijadikan sebagai pengajaran berguna buat Daniel dan dirinya sendiri.
"Di pihak saya pun mungkin sebelum ini saya tak berapa beri tumpuan pada anak dan ini jadi pengajaran pada saya untuk pastikan perkara sama tidak berulang," katanya.
-- BERNAMA
#Hari Kebangsaan #penyaman udara #menjana pendapatan #PBSL
;