Banduan bebas dengan PBSL tekad berubah, tak mahu siakan peluang

Bernama
Ogos 30, 2023 16:34 MYT
Seorang banduan sebak memeluk ibunya ketika bertemu pada Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 di Penjara Penor hari ini. - Foto Bernama
KUANTAN: Semasa nama dipanggil warden semalam, penghuni Penjara Bentong dekat sini, yang dikenali sebagai Nurul mengakui berdebar memikirkan jika terdapat aduan atau kesalahan dilakukannya.
Bagaimanapun, panggilan itu sebenarnya membawa berita gembira apabila dia disenaraikan sebagai seorang daripada banduan yang terpilih untuk dibebaskan hari ini, menerusi program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) sempena Hari Kebangsaan ke-66 yang disambut esok.
Nurul, 32, yang berasal dari Pekan dekat sini, mengakui tidak pernah terlintas di fikirannya untuk dibebaskan lebih awal kerana tempoh hukuman penjara selama dua tahun bermula Disember 2022 atas kesalahan mencuri, masih banyak berbaki.
"Saya hanya mampu menangis bila diberitahu... terus teringat emak kerana terlalu lama tidak memeluk emak. Setiap kali emak datang melawat, kami hanya boleh bercakap menggunakan telefon. Tak sama dan pengalaman itu benar-benar menginsafkan.
"Saya tekad untuk berubah dan bangun semula. Semoga diberikan kekuatan dan masa untuk saya bersama emak. Tak dapat dibayangkan jika apa-apa berlaku kepada emak semasa saya di penjara," katanya semasa ditemui di Penjara Penor di sini hari ini.
Pelepasan Nurul disaksikan Timbalan Pengarah Penjara Pahang, Raja Mohd Amazon Raja Daud dan Pengarah Penjara Penor, Fayrouz Ahmad Zawawi.
Seorang lagi banduan, Lizan, 47, berazam tidak mahu mensia-siakan peluang PBSL, kerana telah kehilangan banyak masa bersama keluarga terutamanya bersama enam anak, sepanjang dipenjarakan atas kesalahan dadah bermula Ogos tahun lepas.
"Anak bongsu saya hanya berusia sembilan bulan semasa saya ditangkap. Tak sabar untuk berjumpa kerana diberitahu sudah semakin banyak keletahnya," katanya.
Sementara itu, isteri seorang banduan yang dikenali sebagai Zila, 41, dari Maran dekat sini, berkata lima anaknya yang berusia antara lima ke 19 tahun, sudah tidak sabar untuk bertemu ayah mereka sejak dia memberitahu akan ke Kuantan untuk menjemput ayah pada Rabu (hari ini).
Sejak menerima berita pelepasan suaminya Isnin lepas menerusi panggilan telefon, Zila berkata anak-anaknya begitu gembira, selain yang kecil kerap bertanya bila ayah, yang sebelum ini dihukum penjara lapan bulan bermula April lepas, akan pulang.
"Anak-anak memang sangat rapat dengan ayahnya. Saya harap anak akan menjadi semangat untuk suami berubah dan tidak lagi terlibat dengan dadah," katanya.
Sementara itu, Raja Mohd Amazon berkata seramai 43 banduan termasuk empat wanita berusia antara 23 dan 56 tahun dilepaskan hari ini menerusi PBSL sempena sambutan Hari Kebangsaan.
Mereka terdiri daripada 27 penghuni Penjara Penor di Kuantan manakala selebihnya daripada Penjara Bentong.
Jumlah banduan yang telah dilepaskan di bawah program itu ialah seramai 585 orang setakat ini.
-- BERNAMA
#banduan bebas #Penjara Bentong #program Pelepasan Banduan Secara Berlesen #Hari Kebangsaan
;