Banding, teliti kekuatan negara pesaing untuk laksana perubahan
Nickyson Nyambar
Jun 11, 2024 22:59 MYT
Jun 11, 2024 22:59 MYT
KUALA LUMPUR : Sistem pendidikan perlu sentiasa cepat diintegrasikan dengan keperluan semasa seiring dengan peredaran zaman, sekali gus dapat menjamin Malaysia terus kompetitif di peringkat global khusus sekali dalam sektor industri dan perdagangan.
Demikian maksud yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pada malam Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2024 pada Selasa.
Tegas beliau, Malaysia perlu mengenal pasti kekuatan negara-negara pesaing termasuk keistimewaan mereka supaya perubahan sewajarnya dapat dilaksanakan.
"Perubahan (yang dimaksudkan) ini adalah perubahan struktur pendidikan, sama ada bermula dengan penguasaan Bahasa Melayu yang baik dengan memberikan penekanan dalam bahasa Inggeris.
Begitu juga mengutamakan bahasa-bahasa lain seperti Cina, Tamil, Arab, Jerman (dalam kalangan rakyat) yang membawa kepada sifat keterbukaan asalkan rakyat menerima kekuatan asas landasan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
Menjelaskan lebih lanjut, kata beliau, institusi-institusi pendidikan serta universiti dalam negara perlu segera menyesuaikan diri mengikut perubahan semasa seperti program-program dan disiplin baharu yang dapat memacu sinergi industri negara.
Ini merangkumi usaha dalam mewujudkan jenis-jenis latihan yang bersesuaian untuk melatih rakyat menjadi golongan berkemahiran tinggi.
Beliau memberi contoh, latihan berkaitan industri teknologi hijau, kecerdasan buatan (AI) dan pelbagai lagi langkah dinamik lain dapat diimplementasi dalam meningkatkan keupayaan daya saing industri tempatan di peringkat global.
Tegas beliau, melihat kepada landskap terkini, tiga negara yang bersaing rapat dengan Malaysia di rantau Asia Tenggara adalah Singapura, Indonesia serta Vietnam.
Beliau berkata demikian dalam acara AKI 2024 yang diperkenalkan sejak tahun 1991 bertujuan untuk mengiktiraf syarikat-syarikat Malaysia yang mempamerkan kecemerlangan dari segi amalan pengurusan, kualiti produk dan perkhidmatan.
Ini termasuk keupayaan untuk menyerlahkan nilai tambah secara berterusan kepada pemegang-pemegang taruh.
Sebanyak 13 kategori dipertandingkan dalam anugerah ini antaranya Anugerah Kecemerlangan Sektor Pembuatan, Anugerah Kecemerlangan Sektor Perkhidmatan, Anugerah Kecemerlangan Kategori Terbuka serta Anugerah Kecemerlangan ESG.
Sementara itu, sebagai menteri bertanggungjawab ke atas pembangunan dan kebolehupayaan industri pelaburan, perdagangan dan industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abd Aziz berkata, anugerah itu adalah salah satu inisiatif utama yang menyokong transformasi industri Malaysia bagi mendorong pertumbuhan ekonomi yang cemerlang, inklusif dan lestari, selaras dengan misi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
"Sebagai Pemacu Potensi Global, MITI yakin AKI 2024 akan terus menggalakkan budaya kecemerlangan dalam kalangan syarikat-syarikat Malaysia dan memberi inspirasi kepada mereka untuk mencapai kejayaan yang berterusan agar mampu bersaing di peringkat global." kata beliau yang turut hadir pada malam anugerah itu yang diadakan di sebuah hotel di ibu negara malam Selasa.