Bandar Teknologi Maju Perlis tawar lebih 2,000 peluang pekerjaan - Fahmi
Bernama
November 16, 2024 16:00 MYT
November 16, 2024 16:00 MYT
KUALA LUMPUR: Pembangunan Bandar Teknologi Maju Perlis di Chuping yang dijadual bermula tahun hadapan akan mewujudkan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan secara langsung dalam bidang berkaitan.
Ringkasan AI
- Pembangunan Bandar Teknologi Maju Perlis di Chuping akan mewujudkan kira-kira 2,000 peluang pekerjaan dalam bidang berkaitan, dengan kos keseluruhan projek mencecah AS$11 bilion (RM49.17 bilion).
- Projek ini akan memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
- Pusat data AI yang bersifat off-grid akan dibangunkan, memanfaatkan sumber tenaga solar, bateri simpanan, dan turbin gas, menjadikan Perlis sebagai hab teknologi yang menarik pelaburan hijau.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata projek yang menelan keseluruhan kos mencecah AS$11 bilion (RM49.17 bilion) itu dijangka mula beroperasi secara berperingkat pada pertengahan 2027.
Beliau berkata projek itu juga akan memperkasa bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara menerusi jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi awam seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) atau mana-mana institusi berkaitan TVET.
"Anak-anak muda kita akan dapat kemahiran, untuk bantu pengoperasian bandar teknologi ini selain mahir dan memanfaatkan teknologi AI (kecerdasan buatan)," katanya kepada pemberita hari ini.
Fahmi ditemui selepas mengiringi Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang berkenan berangkat hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Utama, Pembangunan Bandar Teknologi Maju Perlis melibatkan usaha sama Sirage Capital Sdn Bhd dan Sky Vast Sdn Bhd di sini hari ini.
Fahmi berkata pembangunan projek itu termasuk meliputi prasarana bagi memuatkan hingga 1.25 Gigawatt (GW) pusat data AI yang bersifat off-grid atau tidak bersandarkan kepada rangkaian tenaga sedia ada.
"Jadi mereka akan memanfaatkan sumber tenaga sama ada solar, bateri simpanan ataupun turbin gas yang berupaya memungkinkan pusat data 1.25GW ini beroperasi dengan baik.
"Sebab itu pelaburan strategik ini di Chuping kerana uniknya ia antara tempat yang menerima jumlah matahari tertinggi (di Malaysia) selain disokong bentuk muka bumi bersesuaian pembangunan Bandar Teknologi Maju Perlis ini," katanya.
Menurut Fahmi, konsep off-grid itu dilihat akan menarik perhatian banyak syarikat yang ingin memastikan pelaburan mereka menerima penarafan hijau.
Fahmi berkata Kementerian Komunikasi yakin pembangunan berkenaan akan membantu transformasi ekonomi digital negara terutamanya di Perlis.
"Ini game-changer (pengubah keadaan), satu projek yang angkat Perlis di peta dunia berkaitan pusat data AI, jadi kementerian akan beri dukungan, termasuk bincang beberapa aspek seperti kabel dasar laut bagi memudahkan pembinaan pusat data di Perlis ini," katanya.
-- BERNAMA