'Bandar Sihat' tingkatkan kesejahteraan hidup penduduk

Bernama
Ogos 31, 2023 05:45 MYT
Laman Rekreasi Tasek Tambahan Ampang adalah antara satu kawasan yang dijadikan sebagai Projek Perintis Bandar Sihat oleh KPKT. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seperti kebiasaan petang hujung minggu, suasana meriah memenuhi setiap ruang Laman Rekreasi Tasek Tambahan, Ampang, apatah lagi cuaca yang cerah, membuatkan puluhan penduduk sekitar datang berkunjung.
Ada yang bersama keluarga, rakan, dan bersendirian, menjadikan taman yang dipenuhi kehijauan itu sebagai lokasi pilihan bagi merehatkan minda serta melakukan pelbagai kegiatan sihat, setelah sekian hari lelah bekerja.
Di satu sudut laman, kelihatan ayah dan ibu ketawa gembira bermain badminton bersama anak-anak, sementara di bahagian lain, kelihatan beberapa remaja lelaki bermain bola, ada yang berjoging dan mengayuh basikal, mengelilingi sekitar taman itu.
Tidak kurang juga ada keluarga yang mengambil peluang untuk berkelah, menikmati menu ringan sambil melihat keseronokan anak bermain buaian, papan gelongsor dan santai bersembang sesama jiran tetangga.
"Inilah keseronokan buat kami dan taman ini menjadi tumpuan kalangan penduduk sekitar dan warga kota untuk menjalani gaya hidup sihat, " demikian kongsi Mastura Abdul Mansor, 35, yang membawa dua orang anaknya ke taman itu.
Menurut beliau yang sudah lapan tahun menetap di kawasan perumahan berdekatan, seawal pukul enam pagi lagi, taman yang dibuka sejak tahun 2015 itu sudah dipenuhi dengan warga setempat pelbagai bangsa dan peringkat umur untuk melakukan aktiviti riadah.
Malah, katanya, yang bekerja sebagai guru agama sekolah rendah, ada yang menjadikan taman berkenaan lokasi pertama persinggahan mereka sebelum ke tempat kerja untuk berjoging,lebih-lebih lagi selepas Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) melakukan beberapa penambahbaikan seperti ruang pejalan kaki, gimnasium, menambahkan lagi tarikan taman itu.
"Waktu pagi, memang ada beberapa kumpulan penduduk yang melakukan senaman tai chi dan ada juga yang berjoging. Suasana taman bertambah ceria dan dipenuhi ramai orang awam selepas MPAJ menambah baik taman permainan seperti trek kereta kawalan jauh," katanya kepada Bernama.
Seorang lagi pengunjung setia Laman Rekreasi Tasek Tambahan, Iris Najwa Irwan, 25, berkata, meskipun dikelilingi dengan pelbagai jenis pembangunan dan mempunyai kepadatan penduduk yang agak tinggi iaitu kira-kira lebih 50,000 penduduk, namun siapa sangka kawasan itu mampu mengekalkan kehijauan serta ruang untuk penduduk sekitar mengamalkan gaya hidup sihat.
"Bukan itu sahaja, ia turut dilengkapi dengan pelbagai peralatan senaman gimnasium, memberi peluang kepada mereka yang tidak mampu ke pusat itu untuk menggunakannya tanpa dikenakan sebarang bayaran.
"Walaupun peralatannya tidaklah sebanyak sepertimana di gimnasium, namun ia memberikan kepelbagaian aktiviti kepada penduduk sekitar taman itu termasuk warga kota yang singgah beriadah untuk meningkatkan kualiti hidup.
"Penduduk di kawasan ini daripada pelbagai latar belakang dan kelas pendapatan. Ada yang tidak mampu untuk membelanjakan wang mereka ke tempat beriadah dan di sinilah lokasinya apabila mereka boleh melakukan pelbagai aktiviti senaman dan rekreasi yang dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.
"Cuma, saya harapkan penduduk dapat menjaga kemudahan yang ditambah baik ini dengan baik dan tidak melakukan vandalisme. Kerajaan menerusi PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) melakukan pelbagai usaha, kos untuk membantu warga kota menjalani gaya hidup sihat," katanya.
Hakikatnya, Laman Rekreasi Tasek Tambahan Ampang adalah antara satu kawasan yang dijadikan sebagai Projek Perintis Bandar Sihat oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam usaha membentuk kemampanan bandar serta usaha mengekalkan kehijauan di kawasan bandar.
Projek Bandar Sihat di taman itu yang bermula pada 8 Oktober 2021, dijadualkan siap sepenuhnya pada 7 Januari 2022 tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.
Biarpun lewat disiapkan, namun usaha menaik taraf itu membuahkan hasil yang membantu meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk sekitar dengan menjadikan kawasan bandar di situ lebih berdaya tahan dan berdaya huni.
KURANG JENAYAH
Menurut Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad, penambahbaikan serta menaik taraf kemudahan di taman itu adalah berdasarkan kepada Garis Panduan Reka Bentuk Bandar Sihat yang merangkumi laluan (laluan pejalan kaki dan laluan basikal), pencahayaan serta kemudahan sokongan seperti papan tanda informasi kesihatan dan perabot jalan (wakaf dan bangku),
Beliau, menerusi jawapan secara bertulis kepada Bernama berkata, objektif penambahbaikan yang dilaksanakan di Laman Rekreasi Tasek Tambahan adalah selari dengan Agenda ANMS di bawah teras keempat iaitu mewujudkan persekitaran yang menyokong kesihatan.
Teras ini juga, antaranya, untuk memantapkan promosi amalan cara hidup sihat, mengukuhkan perkhidmatan kesejahteraan rakyat, memperkasa kawalan kendiri kesihatan serta memantapkan kebersihan persekitaran.
"Elemen yang (turut) diberi keutamaan dalam pelaksanaan projek Bandar Sihat ini antaranya adalah penyediaan outdoor gym, penambahbaikan Trek Kereta Kawalan Jauh (ATRC) dan juga taman permainan kanak-kanak. Kesemua penambahbaikan yang dijalankan secara tak langsung ini memenuhi keperluan penduduk MPAJ," katanya.
Apa yang menarik ialah penambahbaikan yang dilakukan itu tidak hanya membantu penduduk sekitar menjalani kehidupan sihat tetapi juga turut mengurangkan kegiatan jenayah apabila kawasan semak samun dibersihkan dan ditambah dengan pencahayaan bagi mewujudkan rasa lebih selamat berbanding sebelum ini.
Menurut Ani, berdasarkan data Fear of Crime, tahap keselamatan di Laman Rekreasi Tasek Tambahan, didapati meningkat daripada 50 peratus kepada 75 peratus, iaitu impak daripada projek Bandar Sihat dan Bandar Selamat yang dilaksanakan di kawasan sama.
Kesan positif ini membuatkan ia dijadikan penanda aras untuk kawasan lain apatah lagi, ini bukan satu usaha mudah untuk menjadikan kawasan berpendudukan padat sebagai sebuah bandar sihat dan berdaya huni.
Justeru, pelbagai aktiviti dilakukan MPAJ dalam meningkatkan kesedaran masyarakat akan kepentingan gaya hidup sihat termasuklah kempen kesihatan, keselamatan, kebersihan, penjimatan tenaga.
Program pembangunan teknologi dan persekitaran hijau juga turut diketengahkan dalam usaha menjadikan Ampang Jaya sebagai bandar rendah karbon dan bandar mampan.
"Contohnya, melaksanakan kerja inventori pokok di sekitar kawasan Ampang bertujuan mendidik penduduk di kawasan MPAJ dengan kepelbagaian spesies pokok yang memberi ruang kepada komuniti mempelajari jenis pokok selain turut menganjurkan program penanaman pokok dalam usaha memelihara dan memulihara pokok teduhan di kawasan Ampang khususnya," katanya.
Menurut Ani lagi, impak memberangsangkan yang dinikmati penduduk sekitar taman ini membuktikan kawasan berkenaan mampu melaksanakan dasar bandar mampan biarpun mempunyai kepadatan penduduk yang agak tinggi apabila mereka mendapat manfaatnya.
SEJAJAR MATLAMAT
Sementara itu, Dekan Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Suhardi Maulan berpandangan, projek bandar sihat adalah antara usaha murni kerajaan dalam mewujudkan bandar mampan dan kehidupan sejahtera di kawasan padat penduduk khususnya di bandar.
Bandar mampan mengikut definisi United Nations Centre For Human Settlements (HABITAT), Program Bandar Mampan adalah 'Bandar Yang Mampu Mengekalkan Pencapaian Dalam Pembangunan Sosial, Ekonomi Dan Fizikal Untuk Selama-lamanya'.
Sementara Research Triangle Institute (RTI) pula merujuk definisi bandar mampan sebagai 'Wilayah Metropolitan yang boleh bersaing dengan jayanya di peringkat global tetapi masih boleh mengekalkan keunggulan budaya dan alam sekitarnya'.
"Projek bandar sihat bagus dalam mengekalkan kemampanan bandar yang mempunyai kelestarian meliputi aspek persekitaran, sosial dan ekonomi. Bandar-bandar ini mampu memberikan keadaan yang baik untuk pemeliharaan dan pemuliharaan penjagaan alam sekitar, interaksi sosial dan berkembang aktiviti masyarakat.
"Selain itu, usaha ini adalah selaras dengan seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menekankan Matllamat Pembangunan Lestari (SDG), Agenda Mampan dan beberapa perkara lain. Misi adalah dengan cuba melakukan cara terbaik dalam menjamin bandar mampan," katanya.
Kemampanan bandar dan mewujudkan persekitaran hijau adalah antara tumpuan Menteri KPKT Nga Kor Ming yang komited menjayakan matlamat kerajaan dalam meningkatkan kualiti kawasan bandar dengan penyediaan ruang sosial yang boleh meningkatkan kebolehdiaman.
Selain mengurangkan pelepasan karbon, bandar lebih berdaya tahan dan berdaya huni serta pada masa sama memulihara dan melindungi biodiversiti bandar yang juga antara usaha dilakukan bagi memastikan Malaysia mencapai SDG menjelang tahun 2030.
Nga sebelum ini dipetik berkata, kementeriannya memberi tumpuan pada tujuh bidang utama yang akan mempercepatkan SDG mengkut acuan setempat dengan berkesan.
Ini termasuk mempertingkatkan agenda bandar pintar dan mampan, membangun dan memperkasakan kerajaan tempatan, mengukuhkan kewangan perbandaran, membangunkan pelan perumahan yang komprehensif, memperkasa masyarakat, mengurus sisa pepejal dengan berkesan dan cekap ke arah 'circular economy' dan mengukuhkan kesediaan anggota bomba.
TIGA LOKASI
Bagi Pengarah Urban Scale Studio Sdn Bhd, sebuah syarikat perancangan bandar, Mohammad Fahmi Alias, projek bandar sihat jika dibangunkan meluas di kawasan bandar, boleh dijadikan sebagai antara satu indikator dalam pengiraan senarai semak bandar karbon rendah yang sering digunakan dalam laporan pembangunan di Malaysia.
Projek ini juga boleh dijadikan sebagai salah satu parameter yang bakal memelihara kehijauan di kawasan bandar, misalnya bandar Vienna, Austria yang banyak menyediakan ruang awam dengan landskap tumbuhan hijau untuk orang awam beriadah dan bersantai di kawasan bandar utama.
"Ini juga bakal memastikan ruang hijau bukan sahaja untuk dipelihara tanpa sebarang aktiviti, namun boleh dijadikan sebagai kawasan yang mampu menarik pengunjung dengan pelbagai aktiviti riadah tanpa memerlukan sebarang binaan kekal di kawasan itu," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Plan Malaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa) Dr Alias Rameli ketika ditanya mengenai Projek Perintis Bandar Sihat yang dilaksanakan PLAN Malaysia di bawah ANMS berkata, ia adalah usaha memperkasakan individu dan komuniti untuk mengamalkan cara hidup sihat serta memelihara kebersihan persekitaran sebagai amalan kehidupan harian penduduk.
Bagi tujuan ini, KPKT menerusi PLANMalaysia memilih bandar Jerantut, Pahang, Taman Tasik Putra, Kulim selain daripada Laman Rekreasi Tasek Tambahan, Ampang sebagai projek perintis Bandar Sihat membabitkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.
Pemilihan lokasi, menurut Alias, adalah berdasarkan pencapaian Indeks Kemampanan Bandar yang diukur melalui jaringan Penunjuk Pembangunan Mampan Bandar dan Luar Bandar Malaysia (MURNInets), potensi lokasi serta komitmen PBT dalam melaksanakan projek ini.
"Diharap dengan adanya bandar sihat ini dapat menyokong agenda pembangunan hijau dan bandar mampan di samping meningkatkan tahap kesihatan dan mental penduduk," katanya.
-- BERNAMA
#bandar sihat #rekreasi #rakyat sejahtera #perancangan bandar
;