Bandar PR1MA pertama tawar 1,500 kediaman mampu milik

Bernama
Jun 14, 2024 05:30 MYT
Nga Kor Ming berkata, projek itu direka untuk memenuhi keperluan pelbagai keluarga dari golongan berpendapatan rendah sehingga sederhana. - Gambar fail Bernama
TELUK INTAN: Bandar Program Perumahan 1 Malaysia (PR1MA) pertama di negara ini bakal menawarkan 1,500 unit kediaman yang dibina di atas tanah seluas 56 hektar di Teluk Intan membabitkan kos pembinaan berjumlah RM511 juta.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, projek itu direka untuk memenuhi keperluan pelbagai keluarga dari golongan berpendapatan rendah sehingga sederhana.
"...seterusnya ia dapat membantu mengatasi masalah kekurangan perumahan di kawasan Teluk Intan dan sekitarnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah Bandar PR1MA Teluk Intan, di sini, pada Jumaat.
Nga yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, projek perumahan itu bakal dilengkapi pelbagai kemudahan komuniti seperti taman rekreasi berpusat, dewan serba guna, masjid, taska, tadika dan medan selera.
Beliau berkata, penyediaan kemudahan itu bagi memenuhi keperluan harian penduduk serta ruang untuk aktiviti sosial dan keagamaan.
Sementara itu, Nga berkata, sejumlah RM519 juta diperuntukkan KPKT bagi pelaksanaan projek pembangunan dan menaik taraf infrastruktur di kawasan Parlimen Teluk Intan.
Beliau berkata, peruntukan itu membabitkan 28 projek infrastruktur awam, pembangunan, perumahan serta landskap bagi manfaat dan kesejahteraan penduduk setempat menerusi Program Sentuhan Kasih KPKT.
Peruntukan itu antaranya meliputi Projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Bahagia iaitu sebanyak RM2.5 juta, menaik taraf medan selera, lampu jalan, longkang, Plaza Rawat dan Rehat Batu 5, pasar awam, serta pembangunan taman rekreasi MADANI membabitkan peruntukan sebanyak RM5.9 juta.
"Ini peruntukan paling banyak pernah diterima Parlimen Teluk Intan dan ini menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan dan Perak sentiasa bekerja erat untuk membawa kemajuan serta kesejahteraan kepada warga Teluk Intan," katanya.
Pada majlis berasingan, Nga merasmikan Bomba Junior Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 2024 di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina San Min 1 dan 2, di sini.
Turut hadir pada majlis itu Timbalan Menteri KPKT, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Nor Hisham Mohamad danTimbalan Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Ithnin Mahadi. - BERNAMA
#Bandar PR1MA #Nga Kor Ming #Perak #Teluk Intan
;