Bandar PR1MA pertama dilancarkan tahun ini - Nga
Bernama
Januari 19, 2024 15:20 MYT
Januari 19, 2024 15:20 MYT
KUALA LUMPUR: Bandar Program Perumahan 1 Malaysia (PR1MA) pertama di negara ini yang dibina berhampiran tapak pembinaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kampus Teluk Intan, bakal dilancarkan tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam kenyataan berkata projek di atas tanah seluas 57.5 hektar yang membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM800 juta itu, menawarkan lebih 1,000 unit rumah mampu milik berkualiti tinggi.
"Pelancaran Bandar PR1MA ini juga akan menawarkan perancangan bandar yang mampan, lestari dan selesa," katanya.
Menurut kenyataan itu, perkembangan tersebut antara yang disembah maklum semasa beliau menghadap Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Istana Hinggap Perak di sini semalam.
Pada 14 Okt tahun lepas, Nga dilaporkan berkata Bandar PR1MA itu akan menempatkan kira-kira 1,700 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) model baharu bernilai RM100 juta.
Dalam sesi menghadap berkenaan, beliau turut menyembah maklum kepada Sultan Nazrin mengenai pencapaian dan inisiatif kementerian dalam usaha membantu rakyat sejak Kerajaan MADANI dibentuk pada Disember 2022.
"Turut dipersembahkan ialah siri-siri kejayaan kementerian dalam melaksanakan pembinaan prasarana awam antaranya termasuk model baru pasar-pasar awam, inisiatif tandas awam bertaraf 'BMW' dan MyKiosk yang bertenaga hijau," menurut kenyataan itu.
Selain itu, Nga turut menyatakan komitmen beliau untuk terus memacu pembangunan rumah mampu milik berkualiti tinggi serta model baharu PPR yang bakal diluncurkan tidak lama lagi.
-- BERNAMA