Bandar Baharu dilanda banjir kilat
Adie Sufian Zulkefli
November 29, 2022 18:52 MYT
November 29, 2022 18:52 MYT
BANDAR BAHARU: Hujan lebat hampir dua jam mengakibatkan tiga buah rumah dimasuki air selain beberapa kawasan terjejas akibat banjir kilat di daerah Bandar Baharu, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Bandar Baharu, Lt (PA) Abdul Rahim Khairuddin berkata, hujan skala lebat itu mengakibatkan dua buah rumah berdekatan Sekolah Kebangsaan Relau di Mukim Relau dan sebuah rumah di Kampung Padang di Mukim Sungai Kechil Ilir dinaiki air sedalam 0.5 meter.
“Hujan lebat berlarutan lebih satu jam bermula jam 3.30 petang turut mengakibatkan kebanyakan kawasan di daerah Bandar Baharu dilanda banjir kilat.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, anggota APM kini melakukan pemantauan di kawasan berisiko dan sekiranya hujan berterusan berkemungkinan ada mangsa yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Abdul Rahim berkata, semua aset APM diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dan PPS juga telah bersedia untuk diaktifkan sekiranya mangsa perlu dipindahkan.
Sementara itu, beliau mengingatkan penduduk yang tinggal berdekatan sungai supaya mengemas dokumen penting dan memindahkan barang ke tempat selamat.