Banci Pertanian: Data beri kesan limpah, harga lebih berbaloi - Ketua Perangkawan

Afiezy Azaman
Julai 8, 2024 13:20 MYT
Menurut Mohd Uzir, apabila rantaian pengeluaran pertanian negara diperkukuhkan, ia mampu memberikan kesan nikmat pembelian barangan atau produk pertanian pada harga yang lebih berbaloi. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Data yang dicerap melalui Banci Pertanian 2024 akan dapat digunakan pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri untuk melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif untuk meningkatkan keberhasilan pengeluaran dalam sektor pertanian negara.

Ringkasan AI
  • Tujuan Banci Pertanian 2024: Data yang dicerap melalui Banci Pertanian 2024 akan digunakan oleh pelbagai kementerian, agensi, dan kerajaan negeri. Tujuannya adalah untuk melaksanakan dasar dan inisiatif yang meningkatkan keberhasilan pengeluaran dalam sektor pertanian negara.
  • Pengukuhan Rantaian Pengeluaran Pertanian: Dengan memperkuatkan rantaian pengeluaran pertanian negara, pembelian barangan atau produk pertanian dapat memberikan kesan nikmat pada harga yang lebih berbaloi untuk keseluruhan rakyat Malaysia. Perlu diberi perhatian kepada kos logistik dan pemasaran yang mahal, terutama bagi petani yang menghadapi kesulitan menjual hasil pertanian.
  • Kolaborasi dan Pengumpulan Data: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bertanggungjawab untuk mengumpulkan data melalui Banci Pertanian 2024. Kolaborasi dengan kementerian dan agensi diperlukan untuk menentukan soalan-soalan yang relevan dan memastikan pengumpulan data yang tepat. Partisipasi komuniti dan pemimpin tempatan juga penting untuk mengelakkan keciciran dalam pengumpulan data pertanian.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, apabila rantaian pengeluaran pertanian negara diperkukuhkan, ia sekali gus dapat memberikan kesan nikmat pembelian barangan atau produk pertanian pada harga yang lebih berbaloi untuk keseluruhan rakyat Malaysia.
"Kita (DOSM) ada membuat kajian rintis di mana sesetengah kawasan sebenarnya mempunyai hasil pertanian yang tinggi namun ia tidak dapat dibawa keluar kerana kos logistik dan pemasaran yang mahal.
"Sebagai contoh, ada petani yang mendapat bantuan benih untuk ditanam daripada agensi kerajaan dan berhasil melakukannya tetapi apabila mahu menjual ia menjadi mahal, jadi kita perlu lihat semula perkara seperti pelaburan dalam infrastruktur, akses internet dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam program AWANI Pagi bertajuk 'Banci Pertanian: Kukuhkan Rantaian Data Pertanian Negara' yang disiarkan, pada Isnin.
AWANI Pagi: Banci Pertanian: Kukuhkan Rantaian Data Pertanian Negara
Banci Pertanian 2024 telah bermula pada Ahad untuk selama tiga bulan sehingga Oktober dan akan membabitkan lebih 5,000 pegawai Jabatan Perangkaan.
Dijangka, lebih 1.3 juta pemilik atau tempat kediaman yang akan diambil maklumat mengenai penghasilan pertanian, profil, demografik, teknik penggunaan tanah dan sebagainya.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) diberi tanggungjawab mengetuai Banci Pertanian 2024 kerana pernah terlibat dengan pengumpulan data berskala besar seperti Banci Penduduk 2020.
"Apabila mengumpulkan data berskala besar, ia perlu mempunyai disiplin, urus tadbir dan pengetahuan yang tinggi.
"Ini juga memerlukan kolaborasi dengan Kementerian dan agensi berkaitan terutamanya dalam menentukan apakah soalan-soalan yang ditanya dan maklumat yang dikumpulkan.
"Orang ramai juga boleh memberikan pandangan apabila melihat data Banci Pertanian 2024 dan ini adalah ciri-ciri untuk menjadi sebuah negara maju," ujarnya.
Mohd Uzir berkata, DOSM juga telah mengenal pasti kawasan-kawasan yang memerlukan aturan logistik seperti di pulau atau pedalaman.
"Banci memerlukan responden dijejaki agar tidak berlaku keciciran dan peranan komuniti serta pemimpin tempatan amat penting dalam konteks pertanian yang berada di pinggir bandar atau luar bandar," katanya lagi.
#Jabatan Perangkaan Malaysia #Mohd Uzir Mahidin #Banci Pertanian 2024
;