Banci Pertanian berjalan lancar, capai 20 peratus

Bernama
Julai 28, 2024 09:55 MYT
Mohd Uzir (dua,kiri) ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja sempena Operasi Lapangan Banci Pertanian Negeri Selangor di Aquaculture Resource Centre (ARC) hari ini. - Foto Bernama
SUNGAI BULOH: Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berjalan lancar dengan 20 peratus bancian selesai dilakukan setakat ini di seluruh negara sejak dimulakan 7 Julai lepas.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata sehingga 26 Julai sebanyak 251,371 kes telah dilawati dengan Sabah mencatatkan jumlah tertinggi, diikuti Johor dan Sarawak.
"Banci ini merupakan langkah strategik untuk mengumpul data yang komprehensif dan terkini mengenai status serta perkembangan sektor pertanian Malaysia.
"Data yang diperoleh akan digunakan untuk merancang dasar, strategi dan intervensi yang lebih efektif dalam meningkatkan daya saing serta keberdayaan sektor pertanian negara," katanya ketika ditemui selepas meninjau proses bancian di Kampung Kubu Gajah di sini hari ini.
Bagi memastikan keberkesanan data yang bakal dihasilkan selepas selesai proses bancian, Mohd Uzir meminta kesemua pihak yang terlibat memberikan maklumat yang jujur dan tepat kepada petugas banci.
Beliau berkata faktor kejayaan program itu ialah kebersamaan dalam penghasilan data kerana maklumat yang tepat adalah mustahak dan untuk itu peranan penghulu atau ketua kampung amat penting untuk memastikan anggota masyarakat di bawah mereka memberikan kerjasama yang baik.
"Setakat ini Alhamdulillah melalui kerjasama dengan agensi-agensi di peringkat negeri dan penggiat pertanian di daerah (mereka) memberikan komitmen 100 peratus dan ini satu petunjuk awal untuk kita tamatkan program ini dengan berjaya," katanya.
Bancian Pertanian 2024 yang akan berakhir pada 10 Oktober ini merangkumi empat subsektor utama iaitu tanaman, ternakan, akuakultur dan perhutanan selain merupakan banci kali keempat dilaksanakan di Malaysia selepas kali terakhir dilaksanakan pada 2005.
-- BERNAMA
#Banci Pertanian 2024 #Jabatan Perangkaan Malaysia #Mohd Uzir Mahidin #DoSM