Banci Pertanian 2024: Pengukuhan sistem statistik pertanian negara
Astro Awani
Julai 4, 2024 12:04 MYT
Julai 4, 2024 12:04 MYT
KUALA LUMPUR : Pelaksanaan Banci Pertanian merupakan agenda bagi pengukuhan sistem statistik pertanian negara, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, melalui banci ini, kerajaan dapat mewujudkan kerangka data pertanian yang merangkumi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar dalam ekosistem pertanian.
"Melalui Banci Pertanian 2024, negara akan mendapat manfaat daripada pembangunan Pangkalan Data Statistik Pertanian Bersepadu yang merangkumi data pertanian di peringkat huluan dan hiliran dan menggabungjalinkan data Banci dengan data pentadbiran daripada pelbagai agensi sehingga ke peringkat negeri dan daerah.
"Ketersediaan data Banci Ekonomi (BE) 2023 yang telah dijalankan oleh DOSM (Jabatan Perangkaan Malaysia) ke atas 1.2 juta pertubuhan berdaftar di seluruh negara pada tahun lepas, turut dimanfaatkan dalam membangunkan pangkalan data ini.
"Data tersebut merentasi pelbagai sektor ekonomi, daripada huluan seperti pengeluaran pertanian di ladang sehingga kepada aktiviti hiliran seperti industri pembuatan produk asas tani dan penyedia perkhidmatan antaranya aktiviti pengangkutan, pemasaran, restoran, penginapan dan peruncitan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa Majlis Peluncuran Banci Pertanian 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, di sini, pada Khamis.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menjelaskan, operasi Banci Pertanian kali ini akan meliputi lebih 20,000 pertubuhan berdaftar, institusi, koperasi dan persatuan.
Turut disasarkan juga sekurang-kurangnya 1.3 juta tempat kediaman pengusaha dan pemilik pertanian.
Seramai 5,821 orang pembanci yang dilantik akan hadir ke premis perniagaan dan tempat kediaman bersama-sama pegawai DOSM dan agensi di negeri-negeri bagi menjalankan temuramah secara bersemuka.
Inisiatif ini dapat meningkatkan ketersediaan data yang komprehensif, real-time, berkala dan bermanfaat kepada pelbagai pihak. Ianya juga dapat meningkatkan koordinasi dan integrasi antara kementerian dan agensi sehingga ke peringkat daerah.
Kesinambungan banci ini akan diteruskan dengan pelaksanaan survei atau kajian pertanian secara berkala untuk mengukur keterjaminan makanan negara, kesejahteraan petani dan prestasi sektor pertanian seiring dengan perubahan semasa.
Selain itu, elemen inovasi dan penggunaan teknologi terkini seperti smart farming, kecerdasan buatan (AI) serta aspek pemuliharaan alam sekitar dapat diukur melalui banci ini.
Penggunaan teknologi ini bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti dan kecekapan sektor pertanian tetapi juga dapat menarik minat golongan belia untuk menceburkan diri dalam sektor pertanian.