Banci Pertanian 2024 pacu keterjaminan makanan, produktiviti dan pertanian mampan Malaysia
Nabilah Khaleeda
Ogos 22, 2024 13:35 MYT
Ogos 22, 2024 13:35 MYT
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Banci Pertanian 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) membawa misi penting dalam meningkatkan keterjaminan makanan negara, produktiviti sektor pertanian, serta mempromosikan amalan pertanian mampan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Pengarah Kanan, Bahagian Perangkaan Harga, Pendapatan dan Perbelanjaan DOSM, Siti Asiah Ahmad, berkata banci ini akan mengumpul data terperinci mengenai semua aspek sektor pertanian, termasuk tanaman, ternakan, perikanan, serta perhutanan dan pembalakan.
Data yang diperoleh akan membolehkan kerajaan dan pihak berkepentingan membuat keputusan berasaskan bukti untuk menangani cabaran keterjaminan makanan, terutama dalam menghadapi perubahan iklim dan ketidaktentuan pasaran global.
Menurutnya, Banci Pertanian 2024 juga memberi fokus kepada peningkatan produktiviti sektor pertanian.
“Dengan maklumat yang lebih tepat mengenai stok dan profil pertanian negara, pihak berkuasa dapat memperkenalkan teknologi baharu dan amalan terbaik yang mampu meningkatkan hasil pengeluaran.
“Ini bukan sahaja akan memperkukuhkan sektor pertanian tempatan tetapi juga meningkatkan daya saing produk pertanian Malaysia di peringkat antarabangsa,” jelasnya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Khamis.
Antara matlamat lain banci ini adalah mempromosikan pertanian mampan yang mana melalui data diperoleh, ia akan digunakan untuk menggubal dasar-dasar yang menyokong penggunaan sumber secara lestari dan amalan pertanian yang mesra alam.
Siti Asiah, yang juga Penolong Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024, menegaskan bahawa inisiatif banci ini akan memastikan pertanian di Malaysia dapat berkembang secara mampan, tanpa mengorbankan keseimbangan ekosistem dan kelestarian alam sekitar.
Banci yang berlangsung dari 7 Julai hingga 10 Oktober 2024 ini adalah sebahagian daripada usaha strategik negara untuk memastikan bekalan makanan yang mencukupi dan berkualiti untuk rakyat Malaysia.