Banci Pertanian 2024: Lebih 420,000 tempat kediaman sektor pertanian selesai dibanci

Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 9, 2024 08:55 MYT
Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin melihat penternakan kupang di Kampung Kuala Masai di sini. - Gambar/ Astro AWANI
PASIR GUDANG: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah selesai melakukan bancian terhadap 423,195 tempat kediaman iaitu 35.3 peratus yang terlibat dalam sektor pertanian, dalam tempoh 34 hari.
Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pelaksanaan Banci Pertanian 2024 yang bermula 7 Julai lalu, dijangka selesai sepenuhnya pada 10 Oktober depan.
Katanya Banci Pertanian 2024 di negeri Johor ini akan melibatkan 193,095 tempat kediaman dan 3,134 pertubuhan perniagaan yang terlibat dalam aktiviti pertanian.
"Sehingga semalam, sebanyak 71,842 tempat kediaman iaitu 36.6 peratus telah dilawati. Bagi pertubuhan perniagaan pula, sebanyak 613 pertubuhan iaitu 19.6 peratus telah selesai dilawati.
"Banci ini merangkumi aktiviti tanaman, ternakan, perikanan, perhutanan dan pembalakan yang kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2005.
"Jadi yang paling penting kita nak lihat siapa yang usahakan (pertanian) yang kita boleh kumpul maklumat diperlukan negara.
"Antara maklumat yang diperlukan termasuk penghasilan, keluasan, kaedah tanaman yang digunakan, berapa peratus penggunaan teknologi dalam sektor pertanian negara. Jadi maklumat itu kita nak perolehi, latar belakang bagaimana sekiranya kita nak sektor pertanian bergerak maju.
"Adakah kita punyai pengusaha, petani yang mempunyai pendidikan yang boleh diserap... teknologi dalam pertanian.
"Semua perkara ini yang kita titik beratkan bahawa maklumat yang diperlukan adalah maklumat yang realiti di lapangan. Sebab itu saya sendiri sebagai Pesuruhjaya Banci Pertanian turun pimpin pasukan untuk mempastikan dapatan atau penemuan dapat menghasilkan data yang diperlukan negara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan kerja ke sektor perikanan sempena Banci Pertanian 2024 di Penternakan Kupang, Kampung Kuala Masai di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, berdasarkan bancian pertanian di Johor, daerah Kulai adalah tertunggu dengan 64.1 peratus, diikuti Batu Pahat 48.4 peratus.
Katanya mengikut laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sektor pertanian di Johor menyumbang 11.6 peratus kepada KDNK negeri, dengan nilai tambah sebanyak RM17.21 bilion.
"Subsektor tanaman adalah penyumbang terbesar dalam sektor pertanian di negeri ini, dengan sumbangan sebanyak 67.88 peratus, diikuti oleh subsektor ternakan dengan 25.36 peratus, dan subsektor perikanan dengan 6.59 peratus pada tahun 2023," katanya.
#banci pertanian #DoSM #Mohd Uzir Mahidin #2024