Banci Malaysia 2020 membanggakan walau berdepan cabaran COVID-19 - Pesuruhjaya Banci
Eton Khir
Oktober 26, 2021 16:37 MYT
Oktober 26, 2021 16:37 MYT
KUALA LUMPUR: Kira-kira 31.8 juta atau 97.6 peratus daripada populasi Malaysia telah dibanci setakat hari ini (26 Oktober) sekali gus menunjukkan satu pencapaian yang membanggakan meskipun negara mendepani pandemik COVID-19 hampir dua tahun.
Memetik angka Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Pesuruhjaya Banci Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah itu, 29.2 juta individu adalah warga tempatan.
Menurutnya, pelaksanaan penutupan banci yang dijadualkan 31 Oktober ini juga berjalan lancar selaras perkembangan vaksinasi yang terus meningkat dengan beberapa negeri memasuki Fasa 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Sekarang ini DOSM bersama dengan kerajaan negeri, kerajaan tempatan, peringkat daerah dan juga pembanci-pembanci yang berada di lapangan ketika ini yang kita panggil pecutan terakhir untuk kita menyelesaikan pembacian pada 31 Oktober ini," katanya pada sesi pembentangan dan sidang media maya mengenai operasi banci yang disiarkan di akaun Facebook MyCencus2020 hari ini.
Memasuki hari-hari terakhir banci menjelang Ahad ini, Mohd Uzir turut meminta individu yang belum menyertainya yang dianggarkan seramai 0.8 juta individu atau 2.4 peratus agar menghubungi Jabatan Perangkaan secara dalam talian.
Beliau berkata, penemuan utama data Banci Malaysia 2020 akan diumumkan pada 1 November, sementara data berdasarkan tema atau sektor seperti kesihatan, pendidikan dan keselamatan akan diumumkan pada Januari 2022.
Banci Malaysia 2020 yang dilancarkan pada Julai 2020 melalui beberapa fasa penjadualan dan penyesuaian semula tempoh operasi apabila banci bersemuka tidak dapat dijalankan berikutan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP).
Di samping itu, Mohd Uzir berkata, Banci Malaysia 2020 telah dijadualkan sebanyak empat kali iaitu pada Julai 2020, Oktober2020, Januari 2021 dan Jun 2021. Sementara Banci secara dalam talian melalui e-Census serta sistem panggilan telefon atau Computer Assisted Telephone Interview (CATI) diteruskan.
"Nisbah jantina penduduk di Malaysia menunjukkan 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Penduduk lelaki mencatatkan 51.5 peratus, lebih tinggi berbanding peratusan penduduk perempuan yang mencatatkan 48.5 peratus.
"Jika mengikut kumpulan etnik utama khususnya penduduk Melayu mencatatkan 16.9 juta melebihi anggaran banci perumahan manakala Cina dengan 6.8 juta (0.2 peratus) dan India 2.0 juta (4 peratus) lebih rendah daripada yang dianggarkan bagi banci perumahan ini," katanya.
Jika dilihat pada kategori usia pula, katanya, 69.1 peratus terdiri daripada mereka yang berusia 15 hingga 64 tahun, 25.6 peratus berusia 14 tahun ke bawah dan 5.3 peratus kategori 65 tahun ke atas.
Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, peratusan sambutan penduduk tertinggi dicatatkan di Samarahan (121.3), Muallim (116.8), Gombak (113.3), Sepang (113.1) dan Seremban (112.5).
Sementara peratusan penduduk telah dibanci terendah mengikut daerah di Semenanjung dicatatkan di daerah Lipis (71.5), Bera (76.6), Maran (77.3), Kuala Krai (77.5) dan Rompin (79.6).
Jelas beliau lagi, warga emas berumur 65 tahun dan ke atas yang tertinggi dicatatkan di Perlis iaitu 9.7 peratus manakala penduduk umur bekerja iaitu 15 hingga 64 tahun yang tertinggi dicatatkan di Kuala Lumpur sebanyak 73.6 peratus dan Putrajaya mencatatkan peratusan umur muda (0 – 14 tahun) tertinggi iaitu 36.5 peratus.
Tambah Mohd Uzir, tidak hanya di kawasan kediaman malahan antara tempat yang dibanci adalah di institusi perubatan, institusi pengajian tinggi, institusi keagamaan, rumah-rumah kebajikan, bahkan penduduk yang berada di tahanan.