Banci 2020: Indikator penting tentukan agihan kekayaan yang saksama - PM
Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 14, 2022 13:53 MYT
Februari 14, 2022 13:53 MYT
SHAH ALAM: Data yang diperolehi menerusi Banci Penduduk dan Perumahan 2020 yang dilakukan akan menjadi indikator terperinci dan mikro yang amat signifikan dalam memastikan dasar dan polisi dapat digubal bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi serta agihan kekayaan yang lebih saksama.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Laporan Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 berkata, ia sekali gus akan mengurangkan jurang antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan di negara ini.
“Bagi tujuan tersebut, sudah pastilah keperluan mengeluarkan pelbagai data dan indikator di peringkat terperinci dan mikro amat signifikan. Maklumat bukan lagi diperlukan di peringkat negeri mahupun daerah malah di peringkat mukim, lokaliti seperti taman mahupun kampung.
“Perkara ini amat diperlukan supaya Kerajaan dapat menggubal polisi bersasar dan pengagihan kesejahteraan kepada rakyat secara saksama,” jelasnya pada majlis yang berlangsung di Shah Alam pagi tadi.
Tambahnya lagi ia diperkukuhkan lagi dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) telah digariskan sebelum ini.
Melalui rancangan tersebut katanya, kerajaan dapat menggubal dan melaksanakan dasar fiskal bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta menguruskan pengagihan sumber kewangan dengan cekap dan berkesan.
Dapatan banci itu, jelasnya, sudah pasti akan digunakan sebagai input berasaskan pengambilan keputusan berasaskan bukti dalam penentuan geran per kapita, penggubalan dasar utama selain penanda aras dalam pengukuran Sustainable Development Goals (SDGs) 2030.
“Statistik Banci Penduduk dan Perumahan dapat memberi gambaran sebenar mengenai situasi kependudukan semasa Malaysia termasuklah saiz, taburan, komposisi dan ciri sosio-ekonomi penduduk serta perumahan.
“Bertitik-tolak daripada maklumat yang diperoleh inilah kerajaan akan dapat menentukan bagaimana pembiayaan kerajaan bernilai berbilion ringgit Malaysia dapat dibelanjakan di seluruh negara,” katanya lagi.
Statistik bancian terkini yang diumumkan oleh Perdana Menteri menunjukkan bahawa kadar pertumbuhan penduduk di negara meningkat sebanyak 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun.
Peratusan tersebut mewakili 32.4 juta penduduk yang direkodkan membabitkan kediaman berjumlah 9.6 juta dengan 8.2 juta isi rumah (IR).
Manakala purata saiz persendirian yang dicatatkan adalah sebanyak 3.8 peratus.