Ban Tanjong Karang ditambah baik, diluaskan lagi 10 meter
Afiezy Azaman
Oktober 13, 2022 11:10 MYT
Oktober 13, 2022 11:10 MYT
KUALA LUMPUR: Kerja-kerja membaik pulih ban pecah di Jalan Kilang Padi, Tanjong Karang, Kuala Selangor pada Selasa lalu, berjalan lancar.
Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Selangor turut membuat pelebaran ban seluas 10 meter.
"Ban sepanjang 15 meter pecah akibat hakisan selekoh sungai dan tekanan air pasang besar hingga menyebabkan banjir sekitar pekan.
"Alhamdulillah, JPS sedang membaik pulih dan membuat pelebaran ban seluas 10 meter. Insya-Allah, setakat ini pihak JPS yakin mampu membendung tekanan dan limpahan dari Sungai Tengi.
"Tahniah JPS atas tindakan pantas bagi mengelak kerugian harta benda rakyat lebih banyak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selasa lalu, Astro AWANI melaporkan kejadian dua ban pecah di dua lokasi sekitar Tanjong Karang.
Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, dua lokasi yang terjejas adalah Pekan Tanjong Karang dan Jalan Masjid Baroh.
Kejadian kira-kira jam 7 pagi itu menyebabkan berlaku limpahan air yang naik ke jalan raya dan kawasan berhampiran.