Ban pecah, Tanjong Karang dinaiki air sedalam 1 meter
Sinar Harian
November 6, 2022 08:30 MYT
November 6, 2022 08:30 MYT
KUALA SELANGOR: Pekan Tanjong Karang dilaporkan dinaiki air sedalam 1 meter susulan insiden ban pecah sekitar jam 4 pagi di sini pada Ahad.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebuah jentera bersama anggota dan bot dari Balai Bomba Tanjong Karang dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 4.07 pagi.
"Dilaporkan berlaku ban pecah di kawasan Pekan Tanjong Karang dan berlaku limpahan air sungai ke kawasan sekitar pada kedalaman 0.5 meter.
"Limpahan air tidak melibatkan rumah penduduk setakat ini dan tiada pemindahan dilakukan.
"Bagaimanapun bomba membuat pemantauan dan bersedia di lokasi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Norazam berkata, pada jam 5.24 pagi air dilaporkan semakin naik hingga ke paras 1 meter di sekitar kawasan pasar Tanjong Karang.
Katanya, pasukan penyelamat memindahkan seorang warga emas berusia 70 tahun ke rumah jiran berdekatan susulan rumah wanita itu dinaiki air.
"Pada jam 5.45 pagi, ketua operasi melaporkan telah memindahkan sebuah keluarga berusia lingkungan empat hingga 70 tahun ke rumah jiran.
"Air mula menunjukkan trend menurun pada jam 6.30 pagi dan pihak bomba terus menjalankan pemantauan di kawasan sekitar," ujar beliau. -Sinar Harian