Ban pecah punca banjir teruk di Kampung Spang Loi

Aiman Hakeem Awazmin
Januari 2, 2022 10:29 MYT
Segamat paling terjejas di Johor dengan bilangan mangsa banjir mencecah 1,771 orang daripada 452 keluarga yang ditempatkan di 30 pusat penempatan banjir (PPS). - Gambar fail
SEGAMAT: Air naik terlalu pantas sehingga penduduk gagal selamatkan harta benda termasuk kereta.
Itu luahan mangsa banjir di Kampung Spang Loi di sini, Yuzaini Yahya, 48, yang memaklumkan keadaan banjir di kawasan itu semakin memburuk petang ini.
Dakwanya, ia susulan ban Sungai Spang Muar yang terletak berhampiran kampung itu pecah lalu menyebabkan air melimpah dan membanjiri kawasan berkenaan, kira-kira jam 2.30 pagi tadi.
Katanya, penduduk tidak menyangka banjir melanda kampung berkenaan selepas kali terakhir berlaku 10 tahun lalu.
"Penduduk berusaha menyelamatkan sebanyak mungkin barangan selepas dimaklumkan ban pecah awal pagi tadi. (Namun) perabot adalah antara yang saya tak boleh selamatkan dalam rumah sebab air cepat sangat naik.
"Kali terakhir banjir teruk adalah pada 2011... Pada 2013 banjir kecil , sebab kewujudan ban tu mengurangkan kesan banjir. Tapi tak sangka pula tahun ini ban itu boleh pecah.
"Teruk juga keadaan banjir kali ini, banyak rumah... dalam 40 buah sudah dinaiki air," katanya di sini, hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] MetMalaysia keluar amaran hujan berterusan di beberapa negeri
Sementara itu, seorang peniaga di kampung berkenaan, Faizal Hassan, berkata air turut memasuki kedai runcitnya dan merosakkan beberapa stok bahan mentah, beras, gula, tepung serta barang jualan yang lain.
"Air naik dengan cepat, saya pun tak sempat selamatkan barang. Saya punya kereta (Perodua) Kancil pun dah tenggelam. Barang kedai macam tepung, barang kering habislah, tak dapat diselamatkan.
"Ini dah keadaan cuaca... orang kata itu hikmah daripada alam, kita berserah sahajalah. Tak boleh salah menyalah. Ini keadaan Allah (beri ujian) untuk kita... mungkin ini sebagai satu kesedaran," katanya.
Daerah Segamat paling terjejas di Johor dengan bilangan mangsa banjir mencecah 1,771 orang daripada 452 keluarga yang ditempatkan di 30 pusat penempatan banjir (PPS) setakat 12 tengah hari tadi.
#banjir johor #Segamat #Kampung Spang Loi #Banjir 2021